Seberang Jaya, 9 Februari 2022 – Pada 8 Februari 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan Advokasi Keselamatan Pemakaian Tali Pinggang Keledar dan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) sempena Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2022. Advokasi ini telah diadakan di Jalan Jelawat, Seberang Jaya oleh Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat (UKJRK) bersama anggota Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB), JPJ Negeri Pulau Pinang terhadap pemandu dan penumpang kenderaan persendirian berkenaan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar pemandu dan penumpang serta kepentingan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) bagi ibu bapa yang membawa kanak-kanak di dalam kereta.


Nasihat keselamatan di jalan raya dan pematuhan undang-undang serta memandu dengan berhemah dan bertimbang rasa semasa memandu juga diberi penekanan utama semasa advokasi ini dilaksanakan. Kepentingan pemakaian tali pinggang keledar pemandu dan penumpang serta Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) berfungsi menghalang pengguna daripada terhentak pada papan permukaan atau cermin depan kereta, tercampak keluar daripada kenderaan, lazimnya boleh menyebabkan kematian dan perlanggaran dengan beg udara yang sedang terbuka dengan pantas yang menghasilkan daya yang boleh mencederakan atau membunuh anda, sekiranya sesebuah kenderaan berhenti secara mengejut.
Advokasi keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain juga turut dilaksanakan pada sesi advokasi pagi ini. Pemberian vest keselamatan, risalah keselamatan dan pelekat keselamatan pengguna jalan raya juga turut dilakukan.

Semoga dengan advokasi yang telah dilaksanakan ini serta panduan keselamatan yang diberikan diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya khususnya di Negeri Pulau Pinang serta dapat mendidik pemandu dan pengguna jalan raya mengamalkan sikap pemanduan berhemah, bertimbang rasa serta patuh pada peraturan dan undang-undang semasa memandu. Keselamatan pengguna ketika di jalan raya menjadi keutamaan jabatan serta tanggungjawab kita bersama. Ingat Insan Tersayang, Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai ke Destinasi.
Sumber berita dan gambar:
Laman Facebook JPJ Pulau Pinang
#KeluargaMalaysia