Nasihat turun-temurun bila tulang ikan tersangkut di tekak: telan nasi sekepal besar, jangan kunyah.Kalau tak jalan, minum cuka. Kalau masih tak jalan, korek dengan jari. Malam itu, ikan kembung goreng di atas meja. Satu suapan, terus terasa mencucuk di tekak. Semua orang di meja mula bagi petua. Nasi dikepal, ditelan. Sekali, dua kali, tiga kali. Tekak masih pedih. Malah rasa makin dalam. Pakar telinga, hidung dan tekak menjelaskan, petua nasi sekepal, cuka atau mengorek dengan jari tidak berkesan, dan boleh memburukkan keadaan.
Kenapa? Tulang ikan yang halus dan tajam biasanya tersangkut di pangkal lidah, tonsil atau bahagian atas tekak. Bila kita telan nasi berketul-ketul, nasi itu boleh menolak tulang lebih jauh ke dalam, bukan menariknya keluar. Tulang yang tersangkut lebih dalam lebih sukar dikeluarkan. Cuka pula tak mampu melarutkan tulang. Ujian rendaman dalam cuka dan minuman berkarbonat mendapati tulang ikan masih utuh selepas tiga bulan.Bayangkan duri kecil di jari.
Kita cabut dengan penyepit. Kita tak tekan duri itu dengan batu supaya ia masuk sampai hilang.Satu lagi perkara yang ramai tak tahu. Kadang-kadang tulang sudah tertelan ke bawah, tetapi ia sempat menggaris dinding tekak. Rasa tercucuk itu boleh kekal beberapa lama walaupun tulangnya dah tiada.Jadi apa yang patut dibuat? Berhenti makan. Kalau tulang nampak jelas di depan mulut dan senang dicapai, ia boleh dikeluarkan dengan berhati-hati. Kalau tak nampak, jangan korek.Jumpa doktor di klinik. Doktor boleh periksa dengan lampu dan skop kecil melalui hidung, kemudian keluarkan tulang dengan penyepit khas selepas semburan ubat bius. Prosesnya biasanya cepat.Terus ke jabatan kecemasan jika tak boleh menelan air atau air liur meleleh, sakit dada, susah bernafas, atau batuk atau meludah darah.Tulang ikan kecil.Tapi tempat ia tersangkut, terlalu penting untuk diserahkan kepada nasi sekepal.
Sumber:Publichealthmalaysia



