MESRA: Hajiji diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman berbual dengan barisan tertinggi polis Sabah selepas mesyuarat.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di Kudat yang merangkumi perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.
“Saya sendiri membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respons yang baik.
“Keselamatan ialah asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut menyambut baik penekanan terhadap pengukuhan kawalan sempadan selaras dengan keutamaan keselamatan dan pertahanan dalam Belanjawan 2027.
Dalam pada itu, beliau meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.
Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani secara berkesan.
“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan berhampiran sempadan Indonesia.
“Saya meminta agensi berkaitan sentiasa menyelaraskan perkongsian maklumat berhubung kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang semakin dinamik serta kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.
Hajiji merujuk kepada situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berhubung pengurusan isu jerebu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Katanya, perkembangan itu wajar dijadikan peringatan bahawa isu kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.
Beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial, bagi mengenal pasti sebarang perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



