OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi.
PENAMPANG: Tiga blok gudang menyimpan barangan plastik musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini, malam Jumaat.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.25 malam itu turut memusnahkan 12 kenderaan yang berada di kawasan gudang berkenaan.
Antara kenderaan yang terbakar ialah empat van, empat pacuan empat roda, dua lori lima tan, sebuah kereta kompak dan sebuah motosikal.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.29 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi empat minit kemudian dan mendapati tiga blok gudang plastik sedang terbakar sebelum bantuan daripada BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan turut digerakkan.
“Ketiga-tiga blok gudang jenis kekal yang masing-masing berkeluasan kira-kira 279 meter persegi musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.
“Sebanyak 12 kenderaan yang berada di kawasan berkenaan turut terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Pisar berkata, seramai 29 anggota bomba bersama jentera pemadam dan lori tangki air terbabit dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah malam selepas hampir dua jam operasi pemadaman dijalankan.
“Kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi kebakaran di kawasan gudang berkenaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Operasi berkenaan turut dibantu tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



