KILANG LEKOR KOTOR, BEROPERASI TANPA LESEN DI TAWAU DITUTUP

OPERASI: Dr Shameer mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah kilang pengeluaran keropok lekor dan kuih bahulu di Tawau yang ditutup kerana beroperasi tanpa lesen serta berada dalam keadaan kotor.

TAWAU: Sebuah kilang yang menghasilkan keropok lekor dan kuih bahulu di daerah ini ditutup selepas didapati beroperasi bertahun-tahun tanpa lesen serta berada dalam keadaan kotor.

Penutupan premis di kawasan perumahan itu dilakukan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dalam operasi penguatkuasaan yang diketuai Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman, dengan hasil risikan Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini.

Pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Keadaan premis yang kotor serta ketiadaan sistem pengurusan kebersihan dan kawalan pengeluaran makanan yang sewajarnya turut menjadi antara faktor tindakan penutupan diambil mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Lebih membimbangkan, kilang itu dipercayai sudah lama beroperasi dan produk yang dihasilkannya turut dihantar ke daerah lain, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan yang dipasarkan kepada pengguna.

Ketiadaan pendaftaran dan lesen menyebabkan aktiviti pengeluaran makanan di premis berkenaan tidak dapat dipantau secara berkesan, termasuk dari aspek kebersihan dan pematuhan terhadap keperluan keselamatan makanan.

Pemantauan susulan akan dijalankan bagi memastikan pengusaha tidak meneruskan operasi selagi belum memenuhi syarat ditetapkan, termasuk mendapatkan lesen dan mematuhi keperluan berkaitan.

Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan di mahkamah boleh diambil sekiranya pengusaha ingkar dan kembali beroperasi tanpa kebenaran.

NOTIS: Pasukan penguat kuasa menampal notis penutupan di premis pengeluaran keropok lekor dan kuih bahulu di Tawau.

Dalam operasi sebelum ini, pemeriksaan turut dijalankan terhadap beberapa premis makanan, kilang ais dan kedai vape bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan serta undang-undang berkaitan.

Pemeriksaan mendapati kebanyakan premis makanan di Tawau berada dalam keadaan baik dan bersih serta mematuhi keperluan KKM, namun masih terdapat pengusaha yang gagal mematuhi peraturan sehingga tindakan penguatkuasaan terpaksa diambil.

Bagi penguatkuasaan berkaitan kawalan produk merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), hampir 35 premis diperiksa dan kira-kira 25 kesalahan dikesan.

Antara kesalahan dikenal pasti ialah kegagalan mematuhi keperluan pendaftaran produk merokok, larangan penjualan, penjualan pada harga runcit yang tidak mengikut harga berdaftar serta pelanggaran syarat pengiklanan, pembungkusan dan pelabelan.

Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha penguatkuasaan dan pemantauan berkala bagi mencegah kejadian keracunan makanan serta memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai selamat untuk dimakan.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

DUA NELAYAN DIDENDA RM10,000 MILIKI IKAN BOM

PROSIDING: Kedua-dua tertuduh diiring keluar dari mahkamah selepas prosiding berhubung kes memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan …

KILANG LEKOR KOTOR, BEROPERASI TANPA LESEN DI TAWAU DITUTUP

OPERASI: Dr Shameer mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah kilang pengeluaran keropok lekor dan kuih bahulu di Tawau yang ditutup kerana …

TIGA DITAHAN KES PUKUL, UGUT BAKAR RUMAH

TANGKAP: Semua ditahan polis bagi membantu siasatan kes memukul seorang individu dan mengugut membakar rumah kongsi di Kampung Tanah Merah, …