Melaka – Ketua Polis Melaka, YDH DCP Datuk Wira Dzulkhairi bin Mukhtar, mengetuai lawatan kerja bersama agensi strategik ke Rumah Api Pulau Undan, Pulau Besar dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan keselamatan perairan negeri terpelihara.

Lawatan bertujuan bagi menilai tahap keselamatan, pemantauan kawasan maritim, kesiapsiagaan operasi dan pengenalpastian potensi ancaman di lokasi strategik. Inisiatif ini turut menekankan langkah pencegahan bagi membendung jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyalahi undang-undang di perairan.

Program diteruskan dengan taklimat oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka – PPSPM di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 1, Kompleks ICQS Melaka. Penerangan diberikan mengenai peranan, tanggungjawab dan skop tugas setiap agensi dalam pengurusan pintu masuk, kawalan sempadan serta pembangunan kawasan sungai dan pantai Negeri Melaka.
Pertukaran maklumat dan pandangan antara agensi terlibat memperkukuh penyelarasan, khususnya dalam perkongsian risikan, pengesanan awal ancaman, mekanisme tindak balas dan tindakan penguatkuasaan bersepadu. Pendekatan ini memastikan setiap agensi melaksanakan tanggungjawab secara cekap, saling melengkapi dan mengikut bidang kuasa yang ditetapkan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen PDRM Melaka untuk memperkukuh kerjasama dengan AKPS – Pintu Masuk Pelabuhan Melaka, PPSPM dan agensi berkaitan dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks. Kesepaduan tindakan, perkongsian maklumat yang tepat dan penyelarasan operasi yang berkesan penting bagi melindungi kepentingan strategik negeri serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir YDH SAC Datuk Ahmad Jefferi bin Abdullah, Timbalan Ketua Polis Melaka; Tuan Mohd Khafez bin Mudry, Komander AKPS; Tuan Johasni bin Mastam, Timbalan Komander AKPS; Encik Azlan bin Abdul Aziz, Pengurus PPSPM; Encik Muhammad Shaharudin bin Othman, wakil PPSPM; Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah.
Sumber : Polis Melaka



