Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu telah melaksanakan tugas pemindahan tahanan pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 pada 2 Oktober 2026.
Operasi pemindahan ini telah dilaksanakan oleh Unit Pemindahan dengan dibantu oleh Pasukan Iringkawal Depot Imigresen Ajil. Pemindahan melibatkan seramai 117 orang tahanan dengan lingkungan umur antara 11 hingga 55 tahun.
Pecahan tahanan terdiri daripada 111 lelaki, tiga perempuan, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Pecahan warganegara melibatkan 63 orang warganegara Myanmar, 30 orang warganegara Bangladesh, tujuh orang warganegara Indonesia, tujuh orang warganegara Pakistan, lima orang warganegara Afghanistan, dua orang warganegara China, seorang warganegara India, seorang warganegara Thailand dan seorang warganegara Algeria.
Kesemua tahanan telah selesai melalui proses perundangan dan menjalani hukuman masing-masing serta dikenakan tindakan senarai hitam mengikut kesalahan di bawah peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu



