BERSALAH: Tertuduh diiring keluar dari Mahkamah Majistret Tawau selepas prosiding kesnya selesai, hari ini.
TAWAU: Seorang bekas pengurus pemasaran dihukum penjara lima tahun dan 26 sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM6.2 juta terhadap syarikat tempatnya bekerja.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mok Chuang Leon, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang kerani syarikat tempatnya bekerja sehingga menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84, dengan mengemukakan penyata jualan bulanan palsu bagi minyak sawit yang dikeluarkan oleh Ample Agent Dan Sawit Borneo Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari 2023 hingga Februari 2024 di sebuah premis di Pusat Komersial Perdana Square, Batu 3 1/2, Jalan Apas, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang berlangsung dari 21 April 2025 hingga 27 April 2026, seramai 26 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang dan Chen Wen Jye.
Terdahulu, Jhesseny memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula hari ini dan 26 sebatan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan dengan jaminan RM26,000 serta dua penjamin tempatan.
Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes rayuan selesai.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



