TANGKAP: Salah seorang penagih dadah yang ditahan dalam serbuan berkenaan.
TAWAU: Tiga lelaki ditahan dan 5.80 gram dadah disyaki syabu dirampas dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Tapis di sekitar Kalabakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rancangan Kalabakan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 36 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemui lapan paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu dengan berat keseluruhan dianggarkan 5.40 gram.
“Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Rancangan Kalabakan dan menahan seorang lagi lelaki selepas menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.08 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, dalam serbuan ketiga di kawasan Kampung Kebun Sapi, Kalabakan, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia kira-kira 21 tahun.
Menurutnya, berlaku sedikit pergelutan ketika proses tangkapan sebelum pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.32 gram.
“Kesemua suspek yang ditahan didapati positif ujian saringan awal air kencing bagi Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2), serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dalam ketiga-tiga serbuan itu dianggarkan 5.80 gram.
Beliau berkata, polis turut menjalankan tindakan susulan bagi mengesan individu yang dipercayai membekalkan dadah kepada suspek, selain meneruskan risikan bagi mengenal pasti rangkaian bekalan serta pihak lain yang terbabit.
“Polis menasihatkan masyarakat supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



