GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung.
KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan Khas Tanah Negeri Sabah (PANTAS) diserahkan kepada penduduk sembilan kampung di kawasan Kadamaian, membabitkan keluasan keseluruhan 694.92 ekar.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penyerahan itu sebahagian usaha kerajaan mempercepatkan penyelesaian urusan hak milik tanah rakyat yang memenuhi syarat kelayakan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, geran tanah memberikan kepastian dan pengiktirafan rasmi terhadap hak milik rakyat.
“Dokumen ini penting bagi melindungi kepentingan keluarga, mengurangkan pertikaian dan memastikan kedudukan tanah dapat diwariskan dengan lebih jelas kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2026 sempena Mini Karnival Usahawan IKS Sabah di Dewan Kadamaian Square, di sini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, geran berkenaan diserahkan kepada penduduk Kampung Kiau Taburi, Kiau Bersatu, Kiau Nuluh, Tomis Lubing, Tambatuan, Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Nariou dan Melangkap Baru.
Menurutnya, Kampung Tambatuan menerima jumlah tertinggi iaitu 117 geran membabitkan keluasan 256.46 ekar.
“Ia diikuti Kampung Kiau Bersatu dengan 98 geran membabitkan keluasan 132.49 ekar.
“Manakala Kampung Kiau Taburi menerima 54 geran tanah, Kampung Kiau Nuluh (69), Kampung Tomis Lubing (25), Kampung Melangkap Tomis (43), Kampung Melangkap Tiong (30), Kampung Melangkap Noriou (30) dan Kampung Melangkap Baru sebanyak 41 geran tanah,” katanya.
Ewon berkata, PANTAS dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sejak 2011 bagi mempercepatkan pengukuran tanah Anak Negeri serta penyelesaian urusan pemberian hak milik tanah.
“Sehingga Jun 2025, sebanyak 70,436 lot tanah adat seluas 488,705 ekar sudah diukur melalui program itu dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM251.34 juta.
“Saya berharap penduduk kampung yang menerima geran tanah dapat menjaga dan mengusahakan tanah berkenaan untuk kesejahteraan keluarga.
“Kerajaan akan terus berusaha memastikan urusan tanah rakyat diselesaikan secara teratur, telus dan mengikut undang-undang,” katanya.
Ewon berkata, sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk terus memperjuangkan peruntukan bagi pelaksanaan Program PANTAS setiap tahun supaya lebih banyak kampung mendapat manfaat.
“Saya yakin program PANTAS dapat diteruskan. Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya juga akan terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan.
“Perkara ini sudah saya bangkitkan dalam sidang Parlimen sebelum ini, termasuk ketika saya berada dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan. Saya yakin perbincangan dan kerjasama ini akan berterusan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



