ROSDI
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun ditahan bersama sepucuk pistol semi-automatik, tiga butir peluru dan dadah disyaki syabu seberat 901.35 gram dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di Jalan Dunlop, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, pemeriksaan di dalam bilik penginapan itu menemukan sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45, satu kelopak peluru dan tiga butir peluru yang disimpan di dalam plastik hitam.
“Suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah kereta jenis sedan yang diletakkan di kawasan penginapan terbabit.
“Pemeriksaan terhadap sebuah beg silang hitam di bawah tempat duduk pemandu menemukan satu paket plastik mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan miliknya dan mendakwa bekalan itu diperoleh daripada seorang lelaki di Sungai Pukul, Sebatik.
Menurutnya, suspek turut mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki di Kunak dan dipercayai mahu dijual kepada pihak lain di negara jiran.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



