PAMERAN: Musa bersama Joachim (kiri) dan Jafry (kanan) ketika melawat pameran sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Segala hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuang dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia, terutama dari aspek MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas penting membentuk hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.
Katanya kerajaan negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.
““Kita percaya hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia.
“Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di sini semalam.
Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September kekal besar bahawa negara ini dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai satu Persekutuan yang berdaulat.
“Bagi kita di Sabah, tarikh 16 September ini amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum, budaya, dan kepercayaan.
“Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian.
“Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan.
“Dalam era media sosial, kita juga perlu lebih bijaksana menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang memecah-belahkan, serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan masyarakat dan membuka peluang baharu,” jelasnya.
Dalam konteks berkenaan katanya, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa semangat Hari Malaysia ke masa hadapan.
Hajiji berkata, generasi muda perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, keyakinan dan ruang untuk mencipta dan pada masa sama, harus mengenali sejarah, menghargai warisan serta memahami kemerdekaan serta pembentukan negara datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keamanan, mengekalkan perpaduan dan kedaulatan.
Menurutnya, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 iaitu ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, membawa satu mesej yang jelas iaitu aspirasi kerajaan untuk memastikan hasil kemajuan, pembangunan, dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil, inklusif, dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal.
Beliau berkata, kemajuan tidak memadai jika hanya kelihatan pada angka dan bangunan, sebaliknya kemajuan mesti dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.
“Bagi Sabah, kesejahteraan juga bermaksud jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan, ketersambungan dipertingkat dan peluang ekonomi diperluas hingga ke akar umbi.
“Namun kesejahteraan hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu. Sebab itu perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan, perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita.
“Kita mahu Sabah terus maju dalam sebuah negara Malaysia yang sejahtera dan makmur,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan, termasuklah memperkukuh infrastruktur, memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



