PRN MELAKA BUKAN LAGI RAHSIA, CUMA TUNGGU MASA AB RAUF

Tanjung Bidara – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bukan lagi menjadi rahsia, sebaliknya hanya menunggu masa sesuai untuk diumumkan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetap akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun tarikh tepat pembubaran DUN masih belum ditetapkan.

“Semua orang tertunggu-tunggu tentang bilakah DUN Melaka akan dibubarkan. Masa itu saya belum dapat lagi bila, kita kena tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Mengulas pertanyaan pemberita mengenai kemungkinan pembubaran DUN dalam tempoh dua minggu lagi, Ab Rauf menggunakan indikator ‘Jumaat ke Jumaat’ kerana masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan bagi memastikan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar.

“Dalam Jumaat ke Jumaat itu kita ada banyak lagi perkara-perkara yang perlu kita selesaikan untuk mentadbir urus Negeri Melaka.

“Insya-Allah, pastinya Pilihan Raya Negeri Melaka tetap diadakan dalam masa tempoh yang terdekat.

“Saya akan memaklumkan kepada pihak media apabila tiba masa untuk mengumumkan perkembangan berkaitan PRN berkenaan,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

3.55 JUTA BATANG ROKOK SELUDUP DIRAMPAS BERNILAI RM4.89 JUTA

RAMPAS: Kesemua rokok tidak bercukai yang dirampas dalam operasi bersepadu PPM Wilayah 4 Sabah bersama SPRM dibawa ke Markas Operasi …

PRN MELAKA BUKAN LAGI RAHSIA, CUMA TUNGGU MASA AB RAUF

Tanjung Bidara – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bukan lagi menjadi rahsia, sebaliknya hanya menunggu masa sesuai untuk diumumkan, …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …