Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan keselamatan negara menerusi Program Bicara Generasi Muda MADANI Tahun 2026: “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Banting Selangor (PBS) pada 11 September 2026.
Program yang dianjurkan oleh MKN Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik PBS sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 itu menghimpunkan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan warga institusi berkenaan.
Program tersebut turut dihadiri oleh YBrs. Puan Faizatul Aini binti Mohd Adnan, Pengarah Keselamatan Negeri Selangor, MKN, YBrs. Ts. Ibrahim bin Burhan, Pengarah Politeknik Banting Selangor, YBrs. Tuan Roswady bin Abdul Wahab, Timbalan Pengarah PBS, serta barisan pengurusan PBS.
Antara pengisian utama program ialah Sesi Interaktif Kuiz Keselamatan Negara yang dilaksanakan bagi menguji pengetahuan dan meningkatkan penglibatan peserta terhadap isu-isu keselamatan negara.
Program turut menampilkan sesi Bicara Generasi Muda MADANI Tahun 2026 bertajuk “Keselamatan Negara Era Digital: Cabaran dan Peranan Generasi Muda” yang disampaikan oleh Encik Mohd Husaini bin Mohamad Rofi, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik, MKN, Jabatan Perdana Menteri.
Sesi bicara tersebut mengetengahkan pelbagai cabaran keselamatan yang semakin dekat dengan kehidupan generasi muda dalam persekitaran digital, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), penipuan dalam talian (scam), media sosial, berita palsu, manipulasi maklumat dan kandungan digital.
Perkongsian turut memberi penekanan terhadap kepentingan literasi media, pemikiran kritis serta keupayaan menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya melalui platform digital.
Para peserta turut didedahkan kepada cabaran berkaitan penggunaan AI termasuk kandungan yang dimanipulasi dan teknologi deepfake, di samping kepentingan menjaga data peribadi serta keselamatan identiti digital.
Pendekatan tersebut penting bagi membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, malah mampu menggunakan ruang digital secara berhemah, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan keperluan membina persekitaran digital yang selamat dan berintegriti.
Dalam ucapan perasmiannya, YBrs. Puan Faizatul Aini binti Mohd Adnan menekankan bahawa keselamatan negara bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan dan agensi keselamatan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat termasuk generasi muda.
Menurut beliau, generasi muda mempunyai peranan penting dalam memastikan kemajuan teknologi dan penggunaan media digital dimanfaatkan secara positif tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat serta keselamatan negara.
Program turut diserikan dengan elemen patriotisme melalui pengibaran Jalur Gemilang oleh para peserta selaras dengan semangat Sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Selain sesi bicara dan soal jawab, penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz serta cenderamata kepada pihak yang terlibat turut diadakan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan kerjasama dalam menjayakan program.
Dalam pada itu, MKN Negeri Selangor turut mengadakan sesi kunjung hormat Pengarah Keselamatan Negeri Selangor ke atas Pengarah Politeknik Banting Selangor sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Dalam kesempatan tersebut, delegasi MKN Negeri Selangor turut berkesempatan mengadakan lawatan ke fasiliti latihan pesawat di Politeknik Banting Selangor.
Lawatan berkenaan memberi pendedahan kepada delegasi mengenai kemudahan latihan teknikal yang disediakan oleh PBS, khususnya dalam menyokong pembangunan kemahiran dan kompetensi pelajar dalam bidang kejuruteraan serta teknologi.
Pemilihan PBS sebagai lokasi program turut memberikan nilai tambah kepada pengisian kerana institusi berkenaan merupakan platform pendidikan teknikal yang melahirkan generasi berkemahiran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang bakal menyumbang kepada pembangunan negara.
Pendekatan mendekati golongan pelajar secara langsung ini selaras dengan usaha MKN Negeri Selangor untuk memperluas kesedaran keselamatan negara kepada generasi muda serta membina masyarakat yang berpengetahuan, berdaya tahan, berfikiran kritis dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cenderamata serta sesi bergambar bersama barisan pengurusan, warga MKN Negeri Selangor, pihak PBS dan para peserta.
MKN Negeri Selangor berharap agar program seumpama ini dapat terus dilaksanakan sebagai wadah untuk memperkukuh kesedaran dan kefahaman generasi muda mengenai peranan mereka dalam memelihara keamanan, keharmonian, keselamatan dan kedaulatan negara.
Keselamatan negara bukan hanya tentang apa yang kerajaan lakukan, tetapi juga tentang apa yang kita semua lakukan.
KESELAMATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA



