SABAH MOTO DAY BAWA MESEJ DISIPLIN, KESELAMATAN JALAN RAYA

GIMIK: James mewakili Hajiji melakukan gimik perasmian Program Sabah Moto Day 9.0 di perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sabah Moto Day 9.0 bukan sekadar acara permotoran, sebaliknya platform membentuk komuniti penunggang yang mengutamakan disiplin, keselamatan, tanggungjawab dan semangat kesukanan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata program yang memasuki edisi kesembilan itu terus berkembang sebagai wadah menghimpunkan anak muda, komuniti permotoran, usahawan, agensi kerajaan dan pelbagai pihak dalam suasana persahabatan serta kekeluargaan.

Katanya, peningkatan penyertaan setiap tahun membabitkan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei membuktikan Sabah Moto Day berjaya membina jaringan komuniti lebih luas merentasi wilayah dan sempadan.

“Semangat yang kita mahu daripada komuniti permotoran ialah sentiasa mengutamakan disiplin, keselamatan, tanggungjawab dan semangat kesukanan.

“Tunjukkan bahawa komuniti permotoran adalah komuniti yang bertanggungjawab, menghormati pengguna jalan raya dan sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Belia Permotoran (Sabah Moto Day 9.0) di perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.

Hajiji berkata, jalan raya tidak seharusnya dijadikan litar perlumbaan, sebaliknya minat, bakat dan keinginan untuk berlumba perlu disalurkan menerusi platform yang sah, selamat dan teratur.

Menurutnya, keistimewaan Sabah Moto Day bukan hanya tertumpu kepada aktiviti permotoran, malah mengetengahkan lima teras utama bagi membina golongan muda Sabah yang aktif, berilmu, berdaya saing, bersatu dan bebas daripada gejala negatif.

“Kerajaan Negeri memandang serius usaha memastikan anak muda mempunyai ruang yang sihat dan positif untuk berkumpul, berkarya, bersukan serta mengembangkan potensi diri.

“Kita bukan sekadar menghimpunkan jentera dan peminat permotoran, tetapi menghimpunkan semangat, bakat dan potensi anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru semua penunggang dan peserta menjadikan minat terhadap dunia permotoran sebagai kekuatan positif dengan menjadi penunggang yang berdisiplin, matang dan bertanggungjawab.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan setiap aktiviti berlangsung dalam suasana aman, selamat, harmoni dan dipenuhi kegiatan positif.

Hajiji berkata, peserta dari luar Sabah juga diharap tidak hanya menikmati kemeriahan Sabah Moto Day, sebaliknya mengambil kesempatan menerokai destinasi menarik di negeri ini.

Katanya, pendekatan itu sekali gus mampu memberi manfaat lebih besar kepada golongan belia, masyarakat setempat, ekonomi dan sektor pelancongan Sabah.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

MYKAD GENERASI BAHARU

Satu evolusi pada reka bentuk, keselamatan dan fungsi yang dibangunkan untuk sebuah identiti yang melangkah bersama zaman. 𝘓𝘦𝘣𝘪𝘩 𝘮𝘰𝘥𝘦𝘯. 𝘓𝘦𝘣𝘪𝘩 …

SABAH MOTO DAY BAWA MESEJ DISIPLIN, KESELAMATAN JALAN RAYA

GIMIK: James mewakili Hajiji melakukan gimik perasmian Program Sabah Moto Day 9.0 di perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu. KOTA KINABALU: …

MKN SELANGOR PERKASA KESEDARAN GENERASI MUDA MENGENAI KESELAMATAN NEGARA ERA DIGITAL

                                        …