GULAMHAIDAR
KOTA KINABALU: Yayasan Sabah sekali lagi memberi peluang kepada semua peminjam pinjaman pengajian Yayasan Sabah bagi menikmati insentif rebat menarik melalui Program Rebat Budi Madani 2026 yang akan ditawarkan bermula 7 hingga 27 September 2026.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar berkata, sepertimana pelaksanaan program Rebat Madani sebelum ini, tujuan utama pelaksanaannya adalah bagi menghargai para peminjam yang komited dalam membuat pembayaran balik pinjaman pengajian serta memupuk budaya pembayaran yang mampan.
“Susulan sambutan yang amat memberangsangkan pada bulan Ogos 2026, Program Rebat Budi Madani 2026 ini mengekalkan tawaran rebat yang menarik bagi menggalakkkan lebih ramai peminjam menunaikan obligasi mereka untuk membuat pembayaran balik pinjaman pengajian justeru menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah.
“Di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, tiga kategori rebat ditawarkan iaitu, rebat 30 peratus ditawarkan kepada peminjam kategori Aktif Bayar yakni mereka yang membuat pembayaran secara konsisten yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Beliau berkata, rebat 25 peratus pula ditawarkan kepada peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar, yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka.
Manakala katanya, rebat 20 peratus ditawarkan kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran.
Menurutnya, pemberian kadar rebat yang tinggi dalam Program Rebat Budi Madani 2026 ini adalah sebagai tanda penghargaan Kumpulan Yayasan Sabah kepada para peminjam yang aktif, konsisten dan dedikasi mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan.
“Di samping itu, program pengampunan Credit Tip-Off Service (CTOS) turut dilaksanakan bagi meringankan bebanan peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan dari senarai CTOS,” katanya.
Beliau berkata, bagi memudahkan para peminjam untuk bertanya lebih lanjut dan memahami proses proses yang berkaitan program rebat dan pengampunan CTOS ini.
Menurutnya, Yayasan Sabah akan melaksanakan jelajah ke beberapa daerah di Sabah untuk berjumpa secara bersemuka dengan peminjam yang berminat menyertai program berkenaan.
“Maklumat terperinci mengenai tarikh dan lokasi jelajah ini akan dimaklumkan melalui media sosial dari semasa ke semasa.
“Sebagai alternatif, peminjam juga boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah,” katanya.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS ini, boleh layari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau hubungi talian 011-33181088/014-3288868/016-8286125/010-9556977/010-2366967, atau emel ke alamat bayaranbalikpinjaman@ysnet.org.my.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



