MESRA: Hajiji menyambut Anwar dalam satu kunjungan ke Sabah tidak lama dulu.
MENJELANG Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kota Kinabalu Jumaat ini (11 September), Sabah sekali lagi menjadi pentas penting untuk menelusuri sebuah janji yang disepakati bersama sewaktu pembentukan Malaysia 63 tahun yang lalu.
Fokus dan perhatian tertumpu pada mesyuarat itu lantaran isu MA63 semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini.
Malah mesyuarat kali ini lebih signifikan menjelang sambutan Hari Malaysia (iaitu pembentukan negara Malaysia) seminggu lagi, iaitu pada 16 September di Kuching, Sarawak.
Perjanjian MA63 dimeterai sebagai sebuah dokumen yang mengikat negara kita bernama Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dijadual terbang dari Kuala Lumpur, menyeberangi Laut China Selatan, untuk mempengerusikan mesyuarat Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Turut dijangka hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku tuan rumah mesyuarat berkenaan.
Penganalisis politik melihat MA63 mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada angka dan klausa. Ia adalah asas persefahaman yang menyatukan Malaya, Sabah dan Sarawak dalam sebuah Persekutuan.
Justeru, apabila sebahagian hak dan kuasa yang dipersetujui masih menjadi tuntutan, perjuangan itu wajar dilihat dalam kerangka memperkukuh Persekutuan Malaysia, bukannya sebagai usaha memisahkan mana-mana wilayah daripada arus nasional.
Dalam konteks Sabah, tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih negeri menjadi antara perkara paling besar dan paling dinanti.
Ia bukan semata-mata soal nilai kewangan, tetapi berkait rapat dengan persoalan keadilan fiskal, pembangunan dan kemampuan Sabah membina masa depannya sendiri.
Setiap ringgit yang dapat dikembalikan melalui hak yang dipersetujui mempunyai makna yang lebih dalam di Sabah.
Ia boleh diterjemahkan kepada jalan raya yang lebih baik, bekalan air dan elektrik yang lebih kukuh, sekolah yang lebih selesa, hospital yang lebih berdaya saing serta peluang ekonomi yang mampu mengubah kehidupan rakyat.
Di sinilah tuntutan 40 peratus perlu difahami bukan sekadar angka dalam penyata kewangan, tetapi potensi yang boleh bertukar menjadi kesejahteraan rakyat.
Sebagai nahkoda bahtera negeri, Hajiji sudah berulang kali menegaskan bahawa Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan tuntutan dan isu yang masih belum diselesaikan di bawah MA63.
Pendirian itu membawa satu mesej yang jelas: penyelesaian sembilan perkara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar merupakan perkembangan penting, namun perjalanan MA63 masih belum sampai ke penghujungnya.
Daripada empat perkara yang telah diselesaikan sebelum ini, jumlahnya kini meningkat kepada 13 perkara selepas sembilan lagi tuntutan berjaya dimuktamadkan.
Angka itu menunjukkan bahawa rundingan MA63 mampu menghasilkan kemajuan apabila kedua-dua pihak memilih jalan dialog, `political will’ dan semangat mencari titik temu.
Ini penting kerana selagi hak-hak yang termaktub itu tidak ditunaikan, maka selagi itulah ia terus dipertikaikan. Selagi tidak selesai, selagi itu kusutnya tidak terurai.
Hingga kini, masih ada sejumlah perkara terus tertangguh di meja rundingan. Justeru, mesyuarat Jumaat ini diharap membawa harapan baharu supaya isu-isu yang masih berbaki dapat diberikan garis masa, mekanisme penyelesaian dan keputusan yang lebih konkrit.
Dalam isu tuntutan 40 peratus, Hajiji menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.
Perkara itu penting kerana persetujuan prinsip harus akhirnya diterjemahkan kepada pelaksanaan.
Rakyat tidak hanya mahu mendengar bahawa pintu telah dibuka. Sebaliknya, mereka mahu melihat bila dan bagaimana mereka boleh melangkah melaluinya.
Dalam bahasa pentadbiran, mungkin ada formula, pengiraan, proses rayuan dan prosedur perundangan. Tetapi dalam bahasa rakyat, persoalannya lebih mudah: bilakah hak itu dapat direalisasikan dan apakah manfaatnya kepada Sabah?
Jurang antara bahasa teknikal kerajaan dengan bahasa harapan rakyat inilah yang perlu dirapatkan.
Pada masa sama, Sabah juga wajar menghargai kemajuan yang telah dicapai. Politik MA63 tidak seharusnya dibina atas rasa kecewa semata-mata, tetapi atas keberanian mengakui kemajuan, sambil tetap teguh menuntut perkara yang belum selesai. Sikap sebegini menjadikan perjuangan lebih matang, rasional dan mempunyai kewibawaan.
Mesyuarat di Kota Kinabalu itu juga boleh menjadi simbol bahawa suara Sabah kini semakin dekat dengan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran dan pembuat keputusan negara.
Jika dahulu banyak tuntutan bergema dari jauh, kini meja rundingan berada di bumi Sabah sendiri.
Ia memberikan makna politik yang tersendiri bahawa isu Sabah bukan isu sampingan dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Apa yang diperlukan selepas ini ialah kesinambungan dan tindakan berkelanjutan. MA63 tidak boleh hanya hidup ketika mesyuarat berlangsung dan kembali sunyi selepas pintu bilik rundingan ditutup.
Ia memerlukan pemantauan, ketelusan dan komunikasi yang jelas supaya rakyat mengetahui perkembangan setiap tuntutan serta sebab sesuatu perkara masih memerlukan masa untuk diselesaikan.
Pada akhirnya, tuntutan MA63 bukan pertandingan untuk menentukan siapa menang dan siapa kalah.
Malaysia tidak akan menjadi lebih kukuh jika Sabah atau Sarawak berasa hak mereka diketepikan.
Sebaliknya, Malaysia akan berdiri lebih teguh apabila Sabah, Sarawak dan Semenanjung dapat berdiri dalam sebuah Persekutuan yang dibina atas rasa saling menghormati, keadilan dan kepercayaan.
Menjelang mesyuarat Jumaat ini, perhatian seluruh negara tertumpu ke SICC — kerana ia bakal mencatat satu lagi halaman penting dalam perjalanan MA63.
Hajiji hadir ke mesyuarat itu bukan dengan tangan kosong, tetapi membawa sejarah, mandat dan harapan rakyatnya.
Harapannya juga sederhana tetapi tegas apa yang telah dipersetujui, dilaksanakan. Apa yang masih belum selesai, diselesaikan. Dan apa yang menjadi hak Sabah, dikembalikan dengan adil.
Ini penting bagi Malaysia untuk melangkah jauh. Keadilan kepada Sabah bukan beban kepada Persekutuan, tetapi tiang yang mengukuhkan rumah bersama.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



