Isu kesihatan mental dan tekanan rakan sebaya dalam kalangan generasi muda kini berada pada tahap yang membimbangkan. Apabila berdepan konflik emosi, segelintir remaja cenderung memilih “jalan pintas” dengan terjebak dalam aktiviti berisiko atau penyalahgunaan bahan terlarang demi mencari kedamaian sementara.
Hakikatnya, jalan singkat ini membawa kos yang sangat mahal. Ia bukan sahaja meragut maruah dan wang ringgit, malah menghancurkan masa depan dan kesihatan mental. Menurut statistik, 1 daripada 6 kanak-kanak dan remaja di Malaysia kini bergelut dengan isu kesihatan mental, yang sebahagian besarnya berpunca daripada tekanan interaksi sosial.
Ketenangan Sebenar Adalah Percuma
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan bahawa ketenangan yang datang daripada bahan terlarang hanyalah ilusi semata-mata. Masyarakat diingatkan agar beralih kepada alternatif yang lebih sihat dan selamat untuk menguruskan stres, antaranya:
- Teknik Pernafasan (Deep Breathing): Mengurangkan tekanan emosi secara serta-merta tanpa modal.
- Sukan & Aktiviti Fizikal: Menyalurkan tenaga negatif kepada pengeluaran hormon adrenaline yang menyihatkan.
- Terapi Luahan Hati: Berkongsi masalah dengan pendengar yang betul atau kaunselor profesional.
Jangan Biarkan Diri Terjerat
- Kempen “Rugi Kalau Terjebak” dilancarkan bagi menyeru seluruh lapisan masyarakat, terutamanya ibu bapa, untuk lebih peka terhadap perubahan emosi anak-anak. Ketenangan sebenar tidak sepatutnya merosakkan hidup anda. Pilih jalan yang membina, bukan yang membinasa.
Sumber Infografik: Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia



