Ada sesuatu yang cukup istimewa tentang rakyat Malaysia apabila bercakap tentang kemerdekaan. Bagi mereka, 31 Ogos bukan sekadar tarikh keramat, tetapi merupakan simbol penyatuan dan patriotisme seorang rakyat.
Sepanjang bulan kemerdekaan ini, Jalur Gemilang berkibar di sana sini, lagu-lagu patriotik berkumandang tanpa henti dan warna merah, putih, biru serta kuning memenuhi ruang kehidupan kita.
Semangat itu kemudian diterjemahkan pada tanggal 31 Ogos semalam yang menjadi bukti ketamadunan dan kedaulatan tertinggi sebuah negara bernama Malaysia.
Apa yang menariknya, sambutan Hari Kebangsaan tidak lagi hanya tertumpu kepada acara rasmi kerajaan. Rakyat sendiri mengambil inisiatif mencipta cara masing-masing untuk menunjukkan kecintaan kepada negara.
Ada yang menghias rumah, memasang bendera pada kenderaan dan tidak kurang juga yang sanggup berbelanja untuk menceriakan kawasan kejiranan.
Di kampung-kampung, suasananya cukup berbeza. Ada penduduk bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di sepanjang jalan masuk kampung, menghias balai raya dan mencantikkan kawasan sekitar.
Ada juga kampung yang menganjurkan program sendiri. Sukaneka, pertandingan menghias rumah, kayuhan basikal, konvoi motosikal, kenduri rakyat dan pelbagai aktiviti dianjurkan secara santai tetapi penuh makna.
Di pejabat pula, semangat yang sama dapat dilihat dalam pelbagai sektor. Daripada jabatan kerajaan hinggalah syarikat swasta, Jalur Gemilang menghiasi ruang pejabat.
Bagi anak-anak muda, sambutan kemerdekaan turut diberikan nafas baharu. Kreativiti mereka dapat dilihat melalui penghasilan video pendek, poster digital, kandungan media sosial dan pelbagai bentuk persembahan yang mengetengahkan identiti Malaysia.
Cara mungkin berubah, tetapi mesejnya tetap sama yang mana negara ini milik kita bersama.
Hakikatnya, patriotisme tidak semestinya perlu ditunjukkan melalui ucapan panjang atau acara besar. Kadangkala cukup dengan tindakan kecil seperti mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul, menghormati lagu Negaraku dan menjaga keamanan di tempat tinggal.
Semangat itu kemudiannya diterjemahkan dengan pelbagai cara. Ada yang datang bersama keluarga, membawa anak kecil, malah ada yang sanggup menempuh kesesakan demi merasai sendiri detik bersejarah tersebut.
Kemuncaknya sudah tentu dapat dilihat di Dataran Putrajaya semalam. Lautan manusia daripada pelbagai latar belakang berhimpun dalam satu ruang dengan tujuan yang sama.
Ketika Jalur Gemilang dikibarkan dan lagu-lagu patriotik dinyanyikan bersama, perbezaan yang selama ini berada dalam lingkungan hidup rakyat seakan-akan hilang buat seketika.
Apa yang lebih menarik, kemeriahan itu bukan milik satu kaum, satu agama atau satu kelompok sahaja. Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan pelbagai komuniti lain sama-sama menjadi sebahagian daripada wajah Malaysia.
Inilah kekuatan sebenar kita yang mana kepelbagaian boleh bersatu apabila kita meletakkan Malaysia di hadapan.
Kita mungkin berbeza dari segi bahasa, budaya, kepercayaan dan cara hidup. Namun, apabila Jalur Gemilang berkibar, kita mempunyai satu identiti yang sama. Kita adalah rakyat Malaysia.
Sumber : https://www.kosmo.com.my/2026/09/01/rakyat-sejuta-jiwa-kita-satu-bendera/



