DZULBAHARIN
LAHAD DATU: Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) berpangkat Lans Koperal cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di Pos Pengawal Marin, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas seorang anggota mengalami kecederaan ketika rakan setugas sedang mengosongkan senjata api.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahagian perut akibat terkena tembakan.
“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Keadaannya dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



