SARA TERUS JADI KEUTAMAAN KERAJAAN TAHUN DEPAN

SARA: Amir Hamzah melihat produk tempatan yang ditawarkan di salah sebuah kedai rakan niaga SARA di Tawau.

TAWAU: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka terus diberi ruang dalam peruntukan kerajaan tahun depan meskipun negara berdepan cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bantuan bersasar seperti SARA penting bagi membantu golongan yang berdepan kekangan kewangan, khususnya dalam menampung kos sara hidup.

Katanya, kerajaan akan terus memastikan ruang fiskal tersedia bagi meneruskan program bantuan yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau kita tengok pendekatan kerajaan, usaha untuk memberi bantuan dengan cara ini masih penting.

“Kerajaan dalam agihan belanjawan yang dibuat akan terus memberi ruang untuk usaha-usaha memberi bantuan kerana ia berkesan untuk menolong mereka yang mungkin kemampuannya tidak cukup bagi menampung kos sara hidup dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan program turun padang SARA di sebuah kedai rakan niaga SARA di Tawau, hari ini.

Amir Hamzah berkata, pelaksanaan subsidi bersasar menjadi antara langkah kerajaan menguruskan perbelanjaan supaya lebih banyak ruang dapat diwujudkan untuk program yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan.

Katanya, pendekatan itu membolehkan kerajaan mengurangkan ketirisan subsidi pukal dan mengalihkan sumber kepada bantuan yang lebih bersasar.

“Kita buat pelarasan subsidi bersasar, kita berpindah daripada yang pukal kerana kita nak meningkatkan ruang untuk program-program yang lebih berkesan untuk membantu rakyat yang mungkin kurang kemampuan.

“Dalam masa sama, kita mahu meningkatkan peluang usahawan tempatan mendapat limpahan daripada program ini,” katanya.

RAMAH MESRA: Amir Hamzah beramah mesra dengan penerima SARA di Tawau yang sedang mendapatkan barangan keperluan harian.

Menurutnya, SARA bukan sahaja membantu penerima mendapatkan barangan keperluan asas, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan pengusaha produk tempatan.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 14,500 rakan niaga SARA di seluruh negara dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 20,000 sebelum hujung tahun ini.

“Kita mahu melebarkan jaringan kepada kedai kecil dan juga syarikat korporat untuk menyertai program ini bagi memberi lebih banyak limpahan kepada usahawan tempatan,” katanya.

Amir Hamzah berkata, mekanisme SARA juga memberi kelebihan kepada penduduk di kawasan luar bandar kerana penerima tidak perlu menanggung kos perjalanan ke bandar semata-mata untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, peluasan rangkaian rakan niaga membolehkan penerima menggunakan manfaat SARA di premis berhampiran kawasan kediaman masing-masing.

“Dengan SARA, kerana kita sudah memperluaskan rakan niaga di seluruh negara, mereka tidak perlu keluar. Di tempat mereka sudah ada pengedai.

“Jadi ia menjimatkan wang penerima SARA dan pada masa sama kita dapat mempromosikan usahawan kita sendiri,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

GEMPA SULAWESI: PENDUDUK PANTAI TIMUR SABAH RASA GEGARAN, TIADA LAPORAN KEROSAKAN

Gambar Metmalaysia LAHAD DATU: Penduduk di beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah merasai gegaran susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 …

TIADA KEJADIAN LELAKI BERSENJATA MASUK SEMPORNA, LAHAD DATU: POLIS

KUALA LUMPUR: Tiada kejadian sekumpulan lelaki bersenjata masuk ke Semporna dan Lahad Datu, Sabah seperti didakwa dalam hantaran yang tular …

SARA TERUS JADI KEUTAMAAN KERAJAAN TAHUN DEPAN

SARA: Amir Hamzah melihat produk tempatan yang ditawarkan di salah sebuah kedai rakan niaga SARA di Tawau. TAWAU: Program Sumbangan Asas …