Peningkatan penyertaan wanita dalam bidang pendidikan dan pekerjaan merupakan satu perkembangan positif yang mencerminkan kemajuan masyarakat. Namun, kemajuan tersebut perlu disertai dengan keseimbangan dalam pembahagian tanggungjawab di rumah supaya wanita tidak menanggung beban berganda antara kerjaya dan keluarga.
Menurut teori ekuiti gender, kadar kelahiran boleh menurun dengan ketara apabila wanita telah mencapai kesetaraan dalam pendidikan dan pekerjaan tetapi pembahagian tanggungjawab penjagaan di rumah masih tidak seimbang. Dalam keadaan ini, wanita bukan sahaja perlu memenuhi tuntutan pekerjaan, malah sebahagian besar tanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak masih bergantung kepada mereka.
Keadaan tersebut bukan sekadar isu keluarga, malah boleh dilihat sebagai satu isu keselamatan sosial dan kesejahteraan masyarakat. Beban yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan, keletihan dan menjejaskan keseimbangan kehidupan wanita. Pada masa yang sama, keluarga turut berdepan cabaran untuk memastikan keperluan anak-anak, pekerjaan dan kehidupan harian dapat diurus dengan baik.
Oleh itu, tanggungjawab menjaga keluarga tidak seharusnya dilihat sebagai tugas wanita semata-mata. Suami, keluarga, majikan dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong wanita berkerjaya. Pembahagian kerja rumah yang adil, kemudahan penjagaan anak serta dasar tempat kerja yang mesra keluarga boleh membantu mengurangkan tekanan yang ditanggung.
Peningkatan usia perkahwinan juga perlu difahami dalam konteks perubahan kehidupan moden, termasuk tempoh pendidikan yang lebih panjang, usaha mendapatkan pekerjaan yang stabil serta kemampuan menyediakan kediaman dan keperluan keluarga.
Keselamatan dan kesejahteraan keluarga bermula apabila setiap anggota keluarga saling berkongsi tanggungjawab. Meringankan beban wanita bukan bermaksud mengambil alih peranan mereka sebaliknya membina sebuah keluarga yang lebih adil, sihat dan kukuh. Apabila tanggungjawab dipikul bersama, kesejahteraan wanita terpelihara, institusi keluarga diperkasa dan masa depan masyarakat dapat dibina dengan lebih seimbang.
Sumber: https://www.astroawani.com/gaya-hidup-terkini-malaysia/ringankan-beban-wanita-berkerjaya



