ECRL BUKAN SEKADAR KERETA API PENUMPANG

TIDAK sampai lima bulan lagi, Malaysia dijangka memasuki fasa baharu dalam sistem pengangkutan rel negara apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memulakan operasi komersial bagi jajaran Kota Bharu ke Gombak pada Januari 2027. Projek sepanjang 665 kilometer ini sering dilihat dari sudut perjalanan penumpang. Namun, nilai sebenar ECRL jauh lebih besar daripada sekadar memendekkan masa perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.

ECRL dibangunkan untuk membawa penumpang dan kargo. Sebanyak 12 lokomotif elektrik diperuntukkan khusus untuk perkhidmatan kargo, selain 11 set tren elektrik enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang. Tren penumpang boleh bergerak sehingga 160 kilometer sejam (km/j), manakala tren kargo sehingga 80 km/j.

Lebih penting, ECRL akan menghubungkan kawasan ekonomi Pantai Timur dengan Pelabuhan Kuantan dan akhirnya Pelabuhan Klang. Hubungan ini membuka peluang kepada pengilang, pengusaha pertanian, industri halal dan perusahaan tempatan di Kelantan, Terengganu serta Pahang untuk menghantar barangan ke pasaran lebih luas.

Pada Julai lalu, kawasan seluas 213 ekar di Pasir Puteh, 68 ekar di Kemaman dan 50 ekar di Temerloh dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai hab logistik. Sebanyak 21 Projek Pemecut Ekonomi turut dirancang di sepanjang koridor ECRL.

Lebih menarik, pembangunan berkaitan ECRL diunjurkan menghasilkan antara RM80 bilion hingga RM90 bilion sumbangan nilai tambah terkumpul kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2047.

Namun, rel sahaja tidak akan mencipta sistem logistik yang cekap. Pembangunan ECRL perlu bergerak bersama pusat pengedaran, taman industri, gudang, terminal kontena dan sistem penghantaran jarak pertama serta jarak terakhir.

Pengusaha lori pula tidak harus melihat rel sebagai pesaing. Lori tetap diperlukan untuk membawa barang dari kilang ke terminal dan dari terminal kepada pelanggan. Yang perlu dikurangkan ialah penggunaan lori bagi perjalanan jarak jauh yang lebih sesuai dilakukan menggunakan rel.

Malah, Dasar Pengangkutan Negara 2019 hingga 2030 sendiri menetapkan usaha menggalakkan peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel. ECRL memberi peluang besar untuk menterjemahkan dasar itu kepada perubahan sebenar.

Kesan yang tidak kurang penting ialah pembangunan Pantai Timur. Selama ini, jarak ke pasaran utama dan kos logistik menjadi antara pertimbangan pelabur. Apabila akses kepada Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan menjadi lebih mudah, kawasan industri di Pantai Timur mempunyai peluang untuk menjadi lebih kompetitif.

Atas sebab itu, ECRL tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah penumpang atau harga tiket.

Ukuran kejayaannya perlu lebih besar. Berapa banyak kargo berjaya dipindahkan daripada jalan raya kepada rel? Berapa banyak kos logistik dapat dikurangkan? Berapa banyak pelaburan baharu muncul di sepanjang koridor ECRL? Berapa banyak perusahaan tempatan berjaya menembusi pasaran lebih luas?

Jika jawapannya positif, ECRL akan menjadi lebih daripada sebuah kereta api.

Ia akan mengubah cara Malaysia menggerakkan barangan, menghubungkan pelabuhan, membuka kawasan industri baharu dan merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dengan Pantai Barat. Itulah pulangan sebenar yang perlu kita tuntut daripada projek nasional bernilai RM50.27 bilion ini. –UTUSAN

 

IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT

Institut Pengangkutan Malaysia

(Mitrans), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

 

Sumber : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/08/ecrl-bukan-sekadar-kereta-api-penumpang/

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …