KESELAMATAN DI LEBUH RAYA: WASPADA ANGIN LINTANG, JANGAN BIAR PERJALANAN BERTUKAR TRAGEDI

Memandu di lebuh raya memerlukan tumpuan dan kewaspadaan yang tinggi bukan sahaja terhadap keadaan trafik tetapi juga faktor cuaca. Salah satu keadaan yang sering kurang diberi perhatian ialah angin lintang atau tiupan angin kuat dari arah sisi. Keadaan ini boleh menjejaskan kestabilan kenderaan dan meningkatkan risiko kemalangan sekiranya pemandu tidak mengambil Langkah berjaga-jaga.

Kesan angin lintang lebih ketara terhadap kenderaan yang mempunyai badan tinggi atau permukaan sisi yang besar seperti lori, bas, van dan lain-lain. Tiupan angin yang kuat secara tiba-tiba boleh menyebabkan kenderaan bergerak atau tersasar dari laluannya. Bagi penunggang motosikal pula, keadaan ini lebih berbahaya kerana mereka lebih terdedah kepada tiupan angin dan boleh menyebabkan hilangnya keseimbangan.

Apabila melalui kawasan yang terdedah kepada angin lintang, pemandu perlu mengurangkan kelajuan dan memastikan kedua-dua tangan memegang pada stereng dengan kemas. Elakkan melakukan pertukaran lorong secara mengejut dan berikan jarak keselamatan yang mencukupi dengan kenderaan lain. Pemandu juga perlu lebih berhati-hati ketika keluar dari kawasan terlindung seperti di belakang bukit, bangunan atau struktur tertentu kerana tiupan angin boleh berubah secara tiba-tiba.

Jika keadaan cuaca menjadi terlalu buruk sehingga menjejaskan kawalan kenderaan, pemandu wajar mencari lokasi yang selamat untuk berhenti dan meneruskan perjalanan apabila keadaan kembali sesuai. Jangan memaksa diri mengejar masa sehingga mengabaikan keselamatan.

Keselamatan di lebuh raya bukan hanya bergantung kepada kemahiran memandu tetapi juga keupayaan membaca keadaan sekeliling. Angin lintang mungkin tidak kelihatan tetapi kesannya boleh membawa padah. Oleh itu, sentiasa peka terhadap keadaan cuaca, kurangkan kelajuan dan utamakan keselamatan setiap kali berada di jalan raya.

Sumber: https://rodapanas.my/automotif/kawasan-angin-lintang/

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …