Penggunaan bunga kenanga sebagai simbol identiti negeri diyakini mampu memperkukuh penjenamaan Terengganu sebagai destinasi berteraskan warisan dan budaya, selain merancakkan sektor pelancongan serta industri kraf.
Langkah strategik itu turut dilihat mampu menyokong kejayaan Kempen Visit Malaysia 2026 yang menyasarkan 43 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan RM147.1 bilion, selain persediaan menghadapi Tahun Melawat Terengganu 2027.
Berdasarkan rekod statistik sektor pelancongan negeri, jumlah pelancong domestik meningkat daripada 11.8 juta orang pada 2023 kepada 14.5 juta orang pada 2024, manakala kehadiran pelancong asing turut meningkat sebanyak 0.8 juta orang pada tahun sama.
Penggunaan bunga kenanga sebagai identiti negeri dijangka bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan, malah memberi manfaat kepada usahawan kraf menerusi penghasilan pelbagai produk berasaskan simbol dan identiti tempatan.
Inisiatif itu juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluaran produk kraf yang mempunyai identiti tersendiri.
Usaha berkenaan dilihat selari dengan strategi memperkukuh sektor pelancongan dan industri kreatif negeri menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/791366/edisi/terengganu/bunga-kenanga-diangkat-sebagai-simbolik-identiti-terengganu



