Pernahkah anda berasa yakin mampu menyiapkan sesuatu tugasan dalam masa yang singkat, tetapi akhirnya lewat daripada jadual? Keadaan ini dikenali sebagai tidsoptimist, iaitu istilah yang berasal daripada bahasa Sweden yang membawa maksud seseorang individu yang terlalu optimis terhadap anggaran masa sehingga sering lewat atau menganggap mereka sempat menyiapkan lebih banyak perkara daripada yang realistik.
Individu yang bersifat tidsoptimist sering percaya mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan pelbagai tugasan atau tiba tepat pada waktunya, walaupun realitinya mereka kerap terlewat. Antara punca utama ialah kecenderungan memandang rendah tempoh sebenar sesuatu tugasan, gagal mengambil kira gangguan yang mungkin berlaku serta terlalu yakin terhadap keupayaan diri.
Sikap tidsoptimist bukanlah sesuatu yang negatif sepenuhnya. Dari sudut positif, individu ini lazimnya mempunyai keyakinan tinggi, berfikiran optimis dan berani menerima cabaran baharu. Mereka juga kurang mudah berasa tertekan kerana percaya segala urusan dapat diselesaikan. Namun, jika tidak dikawal, sikap ini boleh menyebabkan kelewatan berulang, tugasan tidak disiapkan mengikut jadual, tekanan pada saat akhir serta menjejaskan kepercayaan orang lain. Dalam persekitaran kerja dan pembelajaran, pengurusan masa yang kurang baik juga boleh menjejaskan produktiviti dan hubungan dengan rakan sekerja atau ahli keluarga.
Bagi mengatasi sikap tidsoptimist, mulakan dengan merekod tempoh sebenar setiap tugasan agar anggaran masa menjadi lebih realistik. Amalkan menetapkan sasaran masa yang lebih awal daripada tarikh sebenar, sediakan masa tambahan sebagai persediaan menghadapi situasi yang tidak dijangka dan gunakan kalendar atau aplikasi peringatan untuk mengurus jadual harian. Dengan mengimbangi sikap optimis dan perancangan yang realistik, seseorang bukan sahaja dapat meningkatkan disiplin pengurusan masa, malah mampu melaksanakan tugasan dengan lebih teratur, berkualiti dan menepati masa.
Sumber : Cambridge University Press; Kamus Svenska Akademiens Ordbok dan Det Norske Akademis Ordbok bagi definisi perkataan tidsoptimist.



