ANGGARAN PENDUDUK SEMASA, 2026

Siaran Terkini : 31 Julai 2026

Gambaran Keseluruhan 

SITUASI KEPENDUDUKAN DI MALAYSIA, 2026

Anggaran Penduduk Semasa memaparkan anggaran penduduk di Malaysia bagi 2025 dan 2026. Anggaran penduduk semasa adalah berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020. Anggaran penduduk ini menggunakan kaedah komponen kohort yang meliputi kelahiran, kematian, migrasi dalaman dan migrasi antarabangsa. Anggaran ini disediakan menggunakan pendekatan bottom-up. Penduduk dianggarkan mengikut umur satu tahunan, kumpulan etnik dan jantina di peringkat negeri. Jumlah penduduk Malaysia adalah hasil tambah daripada anggaran penduduk setiap negeri.

 

 

 

SAIZ DAN KADAR PERTUMBUHAN PENDUDUK TAHUNAN

Kadar pertumbuhan penduduk Warganegara kekal pada 0.6 peratus

Pertumbuhan penduduk dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu pertambahan semula jadi dan migrasi antarabangsa. Pertambahan semula jadi, iaitu perbezaan antara anggaran kelahiran dengan anggaran kematian, pada 2026 dianggarkan berjumlah 175,119 orang. Pertambahan semula jadi ini terus menunjukkan trend menurun berikutan kadar kesuburan yang rendah serta peningkatan bilangan kematian.

Jumlah penduduk Malaysia pada 2026 dianggarkan 34.4 juta berbanding 34.2 juta pada 2025 dengan kadar pertumbuhan 0.5 peratus. Penduduk Warganegara meningkat daripada 30.8 juta pada 2025 kepada 31.0 juta pada 2026 dengan kadar pertumbuhan kekal pada 0.6 peratus. Sementara itu, kadar pertumbuhan penduduk Bukan Warganegara adalah -0.5 peratus (2025) dan -0.2 peratus (2026).

 

PENDUDUK MENGIKUT JANTINA

Penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan

Bilangan penduduk lelaki dianggarkan meningkat daripada 17.9 juta pada 2025 kepada 18.0 juta pada 2026, manakala bilangan penduduk perempuan meningkat daripada 16.3 juta kepada16.4 juta dalam tempoh yang sama. Walaupun bilangan penduduk bagi kedua-dua jantina meningkat, nisbah jantina keseluruhan kekal pada 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan bagi 2025 dan 2026. Bagi tempoh yang sama, nisbah jantina penduduk Warganegara dan Bukan Warganegara kekal masing-masing pada 102 lelaki dan 227 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

 

 

 

STRUKTUR UMUR

Penduduk umur tua dan umur bekerja di Malaysia terus meningkat

Komposisi penduduk berumur 0–14 tahun (umur muda) menurun daripada 21.6 peratus pada 2025 kepada 21.2 peratus pada 2026. Sementara itu, komposisi penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) kekal pada 70.4 peratus. Sebaliknya, komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus. Selaras dengan perubahan struktur umur penduduk, umur penengah penduduk Malaysia turut meningkat kepada 31.7 tahun pada 2026 berbanding 31.3 tahun pada tahun sebelumnya.

 

NISBAH TANGGUNGAN

Nisbah tanggungan umur tua terus meningkat Nisbah tanggungan jumlah menunjukkan bilangan penduduk berumur 0–14 tahun dan berumur 65 tahun dan lebih yang ditanggung oleh setiap 100 penduduk berumur 15–64 tahun. Pada 2026, nisbah tanggungan jumlah menurun kepada 42.0 berbanding 42.1 pada 2025. Penurunan ini didorong oleh pengurangan nisbah tanggungan umur muda daripada 30.8 pada 2025 kepada 30.1 pada 2026. Sebaliknya, nisbah tanggungan umur tua meningkat daripada 11.4 (2025) kepada 11.9 pada 2026.

 

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …