Pernahkah anda menonton filem Hollywood yang memaparkan watak tiba-tiba sukar bernafas hanya kerana termakan atau terdedah kepada kacang? Babak seperti itu bukan sekadar dramatik untuk jalan cerita, sebaliknya menggambarkan keadaan sebenar yang dikenali sebagai alergi kacang. Bagi sesetengah individu, pendedahan kepada kuantiti yang sangat kecil sekali pun boleh mencetuskan reaksi alahan yang serius dan mengancam nyawa dalam tempoh beberapa minit.
Alergi kacang berlaku apabila sistem imun tersilap mengenal pasti protein dalam kacang sebagai bahan berbahaya lalu menghasilkan tindak balas yang melampau. Faktor risiko termasuk sejarah keluarga yang mempunyai penyakit alahan seperti asma, ekzema atau rinitis alergi, serta pernah mengalami alahan makanan ketika kecil. Di Malaysia, tiada statistik kebangsaan yang lengkap khusus mengenai alergi kacang. Namun, kajian tempatan menunjukkan alahan makanan, termasuk terhadap kacang tanah dan kekacang pokok, semakin kerap dikenal pasti terutama dalam kalangan kanak-kanak dan individu yang mendapatkan rawatan di klinik pakar alahan.
Kesan alergi kacang boleh menjadi amat serius, khususnya kepada individu yang pernah mengalami anafilaksis. Di dalam pesawat, terdapat banyak laporan mengenai penumpang yang mengalami reaksi alergi selepas terdedah kepada kacang, sama ada melalui pemakanan secara tidak sengaja atau sentuhan pada permukaan yang tercemar dengan sisa protein kacang. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Allergy and Clinical Immunology melaporkan sekurang-kurangnya 42 kes reaksi alergi yang disahkan berlaku dalam penerbangan komersial, dengan sebahagian daripadanya memerlukan rawatan kecemasan termasuk suntikan adrenalin (epinefrin). Kajian lain turut menunjukkan terdapat kes penerbangan yang terpaksa dialihkan atau penumpang dihantar ke jabatan kecemasan sebaik sahaja pesawat mendarat akibat reaksi alahan yang serius. Oleh itu, apabila kru kabin mengeluarkan arahan atau pengumuman berkaitan alahan makanan, semua penumpang wajar memberikan kerjasama demi keselamatan bersama.
Justeru, jangan abaikan tanda-tanda seperti ruam, bibir atau lidah bengkak, muntah, sesak nafas, suara menjadi serak atau pening selepas memakan sesuatu makanan. Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera untuk mengenal pasti puncanya dan mendapatkan rawatan yang sesuai. Pengesanan awal bukan sahaja membantu mengelakkan komplikasi, malah boleh menyelamatkan nyawa.
Rujukan utama:
- Sicherer SH, Furlong TJ, DeSimone J, Sampson HA. Self-reported allergic reactions to peanut on commercial airliners. Journal of Allergy and Clinical Immunology. 1999.
- Comstock SS et al. Allergic reactions to peanuts, tree nuts, and seeds aboard commercial airliners. Annals of Allergy, Asthma & Immunology.



