Siaran Terkini : 29 Julai 2026
Gambaran Keseluruhan
Pekerja sektor formal menerima median upah bulanan RM3,027 sebulan pada Mac 2026
Pasaran buruh Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan guna tenaga yang berterusan. Sejajar dengan perkembangan tersebut, bilangan pekerja formal warganegara meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada 7.05 juta orang pada Mac 2026 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pekerja formal lelaki yang merangkumi 55.0 peratus atau 3.88 juta orang daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima median upah bulanan RM3,064 pada Mac 2026, lebih tinggi berbanding pekerja formal perempuan yang menerima RM3,000. Pekerja formal perempuan pula mewakili 45.0 peratus atau 3.17 juta orang daripada keseluruhan pekerja formal warganegara.
Statistik upah mengikut kumpulan umur menunjukkan bahawa pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun terus merekodkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku tahun pertama 2026 (Mac 2026: RM4,100; Februari 2026: RM4,145; Januari 2026: RM4,156). Semua kumpulan umur mencatatkan pertumbuhan positif dalam median upah bulanan kecuali kumpulan umur di bawah umur 20 tahun pada Mac 2026. Pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi direkodkan dalam kalangan pekerja formal berumur 55 hingga 59 tahun, manakala median upah bulanan bagi pekerja berumur bawah 20 tahun kekal tidak berubah pada RM1,700 sejak Februari 2025.

Mengikut aktiviti ekonomi, sektor Perlombongan & pengkuarian, hanya membentuk 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara, mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM9,678 pada Mac 2026. Sebaliknya, sektor Pertanian yang mewakili 1.8 peratus daripada pekerja formal mencatatkan median upah bulanan terendah pada RM2,327, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 5.8 peratus dalam tempoh yang sama.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada RM4,527, diikuti Selangor iaitu RM3,445 dan Pulau Pinang iaitu RM3,064 pada Mac 2026. Sementara itu, Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah masing-masing sebanyak RM1,827, RM1,855 dan RM2,082.
7.9 peratus daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada Mac 2026, menunjukkan pengurangan sebanyak 2.0 mata peratus berbanding Mac 2025. Selain itu, analisis persentil menunjukkan bahawa 10 peratus pekerja formal Malaysia terendah menerima upah bulanan sebanyak RM1,700 atau kurang setiap bulan, manakala pekerja formal dalam persentil ke-90 menerima sekurang-kurangnya RM11,500 setiap bulan. Perbezaan ini menunjukkan pekerja pada persentil ke-90 menerima lebih daripada enam kali ganda upah daripada kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan terendah.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia



