MURID PEREMPUAN DIBULI DI ASRAMA, TIGA PELAJAR DIPANGGIL BANTU SIASATAN

SIASAT: Pihak polis menjalankan siasatan dengan mengambil bukti di lokasi kejadian.

TENOM: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah ini selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di asrama puteri sebuah sekolah rendah di pedalaman Tenom.

Mangsa dilaporkan dipukul, ditendang dan ditarik rambut sehingga mengalami kecederaan pada muka serta kaki.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi Selasa sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang juga rakan sekelas serta tinggal di bilik asrama yang sama.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek jatuh ke tanah.

“Suspek kemudian bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke dalam bilik asrama sebelum memukul, menendang serta menarik rambut mangsa berulang kali,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, ketika kejadian dua lagi pelajar perempuan dipercayai merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit milik suspek utama.

Katanya, video kejadian kemudian dimuat naik ke status WhatsApp milik suspek dua hari selepas insiden itu berlaku.

“Setakat ini tiga individu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terbabit dalam rakaman dan penyebaran video berkenaan.

“Beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Azmir berkata, mangsa sudah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala keterangan saksi dan pihak sekolah sedang dirakam.

Menurutnya, polis memandang serius sebarang bentuk buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa terutama membabitkan kanak-kanak.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan selain memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Terdahulu, satu video memaparkan perbuatan buli membabitkan murid di sebuah sekolah pedalaman tular di media sosial pada Selasa.

Video berkenaan menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul hingga menangis sebelum dipaksa ke bilik air untuk mencuci muka dan dipercayai dirakam oleh rakan yang melakukan perbuatan itu.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …