MYKAD BOCOR: BILA ‘KUNCI RUMAH’ KITA DIPEGANG PENCURI

Sebut fasal MyKad, ramai antara kita masih menganggapnya sekadar sekeping plastik untuk lepas sekatan jalan raya atau urusan kaunter. Namun, dalam belantara digital hari ini, nombor kad pengenalan dan nama penuh ialah ‘kunci ibu’ bagi segala urusan hidup. Berdasarkan laporan, isu maklumat MyKad ‘bocor’ ini kini menjadikan inisiatif seperti Budi MADANI RON95 sebagai sasaran utama penjenayah siber. Apabila data keramat ini bocor ke tangan penyangak, impaknya bukan lagi sekadar gangguan panggilan spam, tetapi sebuah malapetaka kewangan yang nyata.

Scammer hari ini bergerak sangat licik dan pantas. Modus operandi mereka kini sudah beralih kepada penipuan berskala besar seperti membuka akaun bank keldai, mendaftarkan syarikat ‘hantu’ di bawah SSM untuk menipu pembekal, sehinggalah memalsukan dokumen kontrak. Anda mungkin tidak tahu nama anda sedang digunakan untuk aktiviti haram sehinggalah pihak berkuasa mengetuk pintu rumah.

Lebih menyakitkan hati, hak marhaen seperti subsidi diesel Budi95, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dan SARA turut menjadi lubuk duit baharu mereka. Bayangkan, kuota 200 liter sebulan yang sepatutnya mengurangkan beban poket anda, lesap begitu sahaja akibat dipintas penjenayah yang berjaya melepasi sistem pengesahan. Anda yang menanggung lara mengisi minyak dengan harga penuh, mereka pula yang untung atas angin.

Sebelum nasi menjadi bubur, langkah mempertahankan diri wajib diambil sekarang juga tanpa bertangguh. Rajinkan diri menyemak status pendaftaran di portal PADU atau Budi95 secara berkala bagi memastikan tiada ‘tangan ghaib’ yang menukar nombor akaun bank anda. Manfaatkan juga kemudahan portal SemakMule PDRM serta semakan laporan CCRIS untuk mengesan sekiranya ada akaun misteri didaftarkan atas nama anda.

Jika ada tanda data anda disalahgunakan, segera buat laporan polis sebagai perisai undang-undang dan hubungi JPN. Ketatkan keselamatan digital dengan mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA). Ingat, tiada agensi kerajaan akan menelefon anda untuk meminta kod OTP. Sediakan payung sebelum hujan, kerana sekali identiti tergadai, penyesalannya seumur hidup.

Sumber : Maklumat Mykad ‘bocor’, Budi MADANI RON95 jadi sasaran

Disediakan Oleh : Effi Ayu Qarmilia Catra binti Jamaludin

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …