PELANCARAN: Armizan (tiga kiri) bersama Azrul (empat kiri), Khairuddin (tengah) dan Siti Ayu (empat kanan) menunjukkan ‘Fleet Card SmartPay’ PETRONAS untuk digunakan syarikat yang berkelayakan di stesen minyak PETRONAS pada majlis itu hari ini.
KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan dan awam digesa untuk segera membuat pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebelum penggunaan wajib ‘fleet card’ SKDS dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggunaan wajib fleet card SKDS bagi ketiga-tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan akan ditentukan dan dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Sehubungan itu katanya, sekiranya syarikat-syarikat yang berkelayakan mahu kenderaan-kenderaan mereka mendapat manfaat subsidi diesel, mereka perlulah mendaftar SKDS dan mempunyai fleet card.
Beliau mengingatkan syarikat yang berkelayakan supaya tidak menunggu lama untuk membuat pendaftaran memandangkan pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel berkenaan sudah diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sejak 4 Mei 2026.
“Ini penting bagi membolehkan 33 jenis kenderaan yang tersenarai termasuk 10 jenis bagi sektor pengangkutan awam darat dan 23 jenis kenderaan bagi sektor pengangkutan darat barangan yang didaftarkan di bawah SKDS boleh menerima subsidi diesel.
“Peluasan SKDS merupakan pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.
“Mekanisme penggunaan fleet card dalam pelaksanaan SKDS bagi memastikan subsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS di sini hari ini.

PENYAMPAIAN: Wakil syarikat Expogaya Sdn Bhd menerima replika ‘Fleet Card SmartPay’ PETRONAS sebagai simbolik penyampaian daripada Armizan pada majlis itu.
Armizan berkata, setakat 14 Jun 2026, status pendaftaran semasa SKDS bagi ketiga-tiga wilayah berkenaan merekodkan sebanyak 3,933 syarikat dan 14,415 kenderaan di Sabah, 2,869 syarikat dan 14,447 kenderaan di Sarawak dan 269 syarikat serta 769 kenderaan di W.P Labuan.
Menurutnya, pendaftaran melalui SKDS membolehkan syarikat-syarikat yang berkelayakan mendapat manfaat subsidi diesel melalui fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam.
Dalam pada itu jelasnya, peluasan SKDS juga bagi mengekang ketirisan subsidi diesel sama ada melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh warga asing dan pendatang tanpa izin (PTI).
“Akibat krisis tenaga susulan konflik Asia Barat, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan terus meningkat termasuk di Sabah dan Sarawak yang mencecah RM563 juta dan RM647 juta bagi Mac dan April tahun ini.
“Jumlah keseluruhan subsidi diesel untuk tempoh empat bulan pertama hingga April 2026 mencecah RM1.4 bilion dan kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api selagi harga minyak dunia masih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi diesel kepada rakyat dan industri secara bersasar sebagai langkah intervensi dan mitigasi.
Menurutnya, langkah itu bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup serta pergerakan harga barangan dan perkhidmatan.
Katanya, penyaluran subsidi secara bersasar juga perlu dilaksanakan sebagai mekanisme pengurusan risiko ketirisan, selain meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) Azrul Osman Rani; Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Khairuddin Jaafar dan Pengurus Besar, Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan Datuk Siti Ayu Abd Wahab.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



