SINDIKET URUS MYKAD PALSU TUMPAS, SEMBILAN DITAHAN

SIDANG MEDIA: Jauteh menerangkan modus operandi yang digunakan sindiket pengurusan permohonan MyKad palsu.

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya membongkar kegiatan pengurusan permohonan MyKad palsu selepas menahan sembilan individu termasuk empat wanita menerusi Op Pugo yang dijalankan selama enam hari bermula 7 Mei lalu.

Semua suspek berusia antara 36 hingga 61 tahun membabitkan warga Filipina dan Indonesia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dijalankan susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 30 tahun pada 13 Mac lalu selepas mendakwa kerugian RM20,000.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada sebarang rekod permohonan kad pengenalan atas namanya.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan sembilan individu dan rampasan pelbagai dokumen serta peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan permohonan MyKad.

“Antara rampasan dibuat ialah 85 keping pelbagai dokumen permohonan MyKad, 54 salinan kad pengenalan, 45 salinan dokumen pemohon MyKad, 24 keping gambar pemohon serta 10 set dokumen bertulis Program Khas Penempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Menurutnya, polis turut merampas sembilan salinan sijil lahir, enam sijil lahir asal, tujuh salinan pasport pelbagai nama, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, lima kad pengenalan palsu dan tiga cop JPN.

Katanya, tiga kenderaan, satu set komputer, sebuah pencetak dan dua stampad turut disita kerana dipercayai digunakan untuk memproses dokumen berkaitan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

Jauteh menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri kerana boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau turut meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan bagi membantu siasatan polis.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …