GAJAH PYGMY DITEMUKAN MATI, GADING DIPERCAYAI DIPOTONG

KEJAM: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dengan gading dipercayai dipotong dipercayai akibat kegiatan pemburu haram.

KOTA KINABALU: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di kawasan hutan nurseri Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dipercayai menjadi mangsa jenayah hidupan liar.

Lebih menyayat hati, haiwan dilindungi itu ditemui dengan bahagian muka dan mulut dipotong, manakala gadingnya dipercayai sudah diambil pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejadian itu amat membimbangkan dan pihaknya memandang serius insiden berkenaan.

Katanya, pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) menerima laporan berhubung penemuan bangkai gajah terbabit kira-kira jam 8.25 pagi semalam sebelum operasi pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati sehari sebelum itu, kira-kira jam 5.30 petang, kakitangan ladang di Tongod terdengar bunyi kuat seperti letupan, namun tidak dapat melakukan pemeriksaan segera berikutan hujan lebat sepanjang malam.

“Keesokan paginya, pengurus ladang bersama kakitangan melakukan pemantauan sebelum menemukan bangkai seekor gajah jantan Borneo setinggi kira-kira 2.9 meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bahagian muka dan mulut haiwan itu dipotong berbentuk huruf ‘L’ menggunakan objek tajam, manakala gadingnya dipercayai sudah dipotong dan dibawa lari.

Katanya, setakat ini tiada kesan tembakan ditemukan pada badan haiwan berkenaan, namun siasatan lanjut termasuk bedah siasat masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Keadaan hujan lebat ketika kejadian turut menyukarkan usaha pasukan penyiasat mengesan jejak dan bahan bukti di lokasi,” katanya.

Jafry berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mengesahkan berlaku aktiviti pemburuan haram atau pemotongan gading secara tidak sah.

“Gajah Borneo adalah spesies ikonik dan dilindungi di Sabah. Sebarang ancaman terhadap spesies ini perlu dipandang serius kerana ia membabitkan khazanah biodiversiti negeri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu pihak berkuasa bagi memastikan individu bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …