KADAMAIAN PESAT MEMBANGUN, BERPOTENSI JADI DESTINASI PELANCONGAN BAHARU SABAH

MESRA: Ewon disambut mesra semasa tiba di majlis itu. 

KOTA BELUD: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang kini pesat membangun berpotensi menjadi destinasi pelancongan baharu Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, pelbagai pembangunan terus dilaksanakan di kawasan Kadamaian termasuk pembinaan sekolah, klinik, jalan raya serta program pemilikan tanah di kampung-kampung.

Katanya, kerajaan juga akan memulakan program penyukatan pantas di dua lagi mukim di Kadamaian pada tahun ini selain dua projek jalan raya utama yang dijangka memasuki proses perolehan menjelang hujung tahun ini.

“Saya yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Kadamaian demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud di Kadamaian Square, di sini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, antara projek utama yang sedang dan telah dilaksanakan di Kadamaian termasuk pembinaan serta naik taraf Jalan Sayap, Jalan Terintidon, Jalan Podos dan Jalan Komburaon selain pembinaan Jambatan Melangkap serta jambatan di Kaung.

Katanya, sepanjang tempoh empat tahun lalu, pelbagai pembangunan berjaya direalisasikan termasuk penaiktarafan jalan utama, pembinaan jambatan dan program penyukatan tanah di bawah Program PANTAS yang melibatkan beberapa kampung di kawasan Melangkap dan Sayap.

“Beberapa sekolah daif kini dinaik taraf kepada bangunan konkrit, manakala klinik desa turut dipertingkatkan bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

“Kemudahan tamu desa di kampung-kampung yang sebelum ini hanya beralaskan tanah juga kini dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung,” katanya.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata, segala pembangunan yang dilaksanakan itu merupakan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.

“Ini antara yang telah kita usahakan dalam tempoh empat tahun lalu dan kita akan teruskan usaha pembangunan ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut melihat potensi besar sektor pelancongan di Kadamaian, khususnya melibatkan pemandangan Gunung Kinabalu dari kawasan Kota Belud.

“Ramai hanya mengenali Gunung Kinabalu dari sudut Ranau seperti Kundasang, Bundu Tuhan dan Mesilou.

“Jarang rakyat Sabah mengetahui bahawa pemandangan Gunung Kinabalu dari Kota Belud dan Kadamaian juga sama cantiknya,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan perbincangan bersama Taman-Taman Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, laluan pendakian ketiga Gunung Kinabalu dicadangkan dibangunkan dari Kadamaian.

“Saya yakin apabila laluan ini siap kelak, Kadamaian akan menjadi destinasi pelancongan yang mampu bersaing dengan Mesilou dan Kundasang,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan itu juga akan membuka peluang kepada penduduk sekitar kawasan pergunungan untuk memajukan tanah mereka bagi tujuan pertanian dan pelancongan.

Menyentuh mengenai sambutan Kaamatan, Ewon berkata, perayaan itu bukan sahaja melambangkan tuaian padi, tetapi juga kejayaan dalam bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan dan perkhidmatan awam.

Katanya, semua kejayaan itu memerlukan perpaduan dan keharmonian, khususnya di Sabah yang mempunyai pelbagai etnik, kaum dan agama.

“Kita harus berbangga dengan kepelbagaian etnik di Sabah dan semangat itu perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam sambutan seperti ini, tetapi juga dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Belud turut mencerminkan perpaduan kukuh rakyat pelbagai kaum di daerah berkenaan.

Katanya, kehadiran masyarakat pelbagai etnik termasuk Dusun, Tobilung, Bajau, Iranun, Sino dan Cina membuktikan keharmonian rakyat di Kota Belud terus utuh.

“Sambutan Kaamatan bukan sahaja diraikan sebagai pesta kebudayaan, tetapi turut menjadi medium penting dalam memperkasakan perpaduan dan semangat kebersamaan rakyat.

“Saya melihat penyertaan masyarakat Kota Belud yang terdiri daripada pelbagai suku kaum menunjukkan daerah ini mempunyai perpaduan yang sangat kuat dalam kalangan rakyatnya,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …