ANWAR MAHU SMK BANGGI JADI CONTOH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN LUAR BANDAR

Anwar memperkatakan sesuatu kepada warga pendidik SMK Banggi ketika melakukan lawatan ke SMK Banggi hari ini. – Gambar BERNAMA

KUDAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu prestasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi dipertingkat supaya sekolah di pulau terpencil itu menjadi contoh kecemerlangan pendidikan luar bandar serta pusat pembangunan modal insan.

Beliau berkata anak-anak di Pulau Banggi, meskipun tinggal di kawasan paling terpencil boleh berjaya sekiranya diberi tumpuan serius dalam pendidikan.

Anwar berkata pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu mengubah kehidupan pelajar daripada keluarga miskin, malah membolehkan mereka menyumbang kepada keluarga dan masyarakat setempat.

“Pulau Banggi ini antara rantau pulau yang paling terpencil dalam seluruh wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Kita harus beri tumpuan, dan saya minta ibu bapa beri tumpuan kerana anak dari keluarga yang paling miskin, dari pulau paling terpencil, tetapi kalau ditumpukan bidang pendidikan, dia boleh naik kerana mutu pendidikan yang diperoleh dan memberi sumbangan kepada keluarga dan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin.

Anwar berkata lawatannya ke SMK Banggi mengimbau kenangan pada 1994 ketika beliau, selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, meletakkan batu asas pembinaan sekolah berkenaan.

Beliau berkata sekolah itu kini tersergam indah, telah melahirkan anak-anak yang terlatih serta terdidik, selain menyediakan pendidikan tingkatan enam atau prauniversiti di Pulau Banggi.

Perdana Menteri turut meminta pengetua SMK Banggi, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengarah Pendidikan Sabah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menyediakan laporan mengenai langkah tambahan bagi meningkatkan prestasi sekolah itu, dalam tempoh dua minggu.

Anwar berkata kerajaan bersedia meneliti keperluan tambahan SMK Banggi, namun pihak sekolah juga perlu menetapkan sasaran jelas bagi memastikan pencapaian pelajar meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata sebarang keperluan tambahan boleh dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan supaya sekolah itu tidak berdepan kekurangan kemudahan asas yang boleh menjejaskan usaha meningkatkan pencapaian pelajar.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pemimpin dan penjawat amanah supaya menggunakan kedudukan masing-masing untuk membela nasib rakyat, bukan mengejar kepentingan peribadi.

Beliau berkata jawatan yang diberikan merupakan amanah dan tanggungjawab besar, bukannya keistimewaan untuk merebut habuan atau kekayaan.

“Negara ini, negeri ini, hancur atau lemah kerana bila ada jawatan rebut habuan. Ada kemewahan tetapi tidak pernah cukup, rebut untuk diri mereka.

“Amanah ini kita lakukan untuk jaga kepentingan negeri dan jaga kepentingan rakyat termasuk yang paling susah dan miskin di negara kita,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …