ALBUM: Masidi (tengah) dan Suresh (empat kanan) bersama rombongan merakam gambar kenangan dalam kunjungan itu.
KOTA KINABALU: Industri perhotelan di Sabah kini berdepan cabaran berikutan penurunan ketibaan pelancong asing ke ibu negeri.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan, Suresh Ramasamy berkata, situasi berkenaan dipercayai berpunca daripada dua faktor utama, iaitu kesan ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah, serta perubahan corak perjalanan pelancong yang kini beralih ke destinasi baharu seperti Vietnam.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Masidi mencadangkan MAH Sabah dan Labuan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dimohon bekerjasama mengambil pendekatan lebih strategik dalam menyesuaikan pemasaran pelancongan dengan keadaan semasa.
Beliau berkata, beberapa hotel di sekitar Kota Kinabalu terjejas secara langsung, dengan kadar penginapan yang menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.
Masidi yang juga Menteri Kewangan menekankan keperluan memperkukuh promosi pelancongan domestik, khususnya menyasarkan pasaran berpotensi tinggi di kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Menurutnya, terdapat potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan berpendapatan tinggi, yang majoritinya tertumpu di kawasan-kawasan tersebut, bagi merancakkan semula industri pelancongan negeri.
Dalam masa sama, Masidi turut menegaskan bahawa Sabah perlu lebih proaktif dalam membangunkan produk pelancongan baharu dan unik bagi kekal berdaya saing, terutama dalam menghadapi kemunculan destinasi alternatif di rantau ini.
“Dengan strategi yang tepat dan penawaran produk yang segar, Sabah masih mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



