Mendirikan perkahwinan adalah kemuncak untuk percintaan sejati . Namun bak kata bidalan, ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari.
Begitulah diibaratkan untuk suatu perkara halal yang amat dibenci oleh Allah swt iaitu penceraian.
Perkara penceraian ini menarik minat media cetak dan elektronik apabila dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh ADUN Ladang, Zuraida binti Mohd Noor pada 21 April 2026 yang lalu.
Menurutnya, peningkatan mendadak kes perceraian di Terengganu disifatkan sebagai petunjuk awal krisis sosial yang membimbangkan apabila mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Beliau juga mendedahkan statistik bagi tahun 2025 menunjukkan kes perceraian melonjak kepada 3,810 kes berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada tahun sebelumnya.
Menurutnya lagi, dapatan melalui data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan negeri Terengganu dalam kelompok lapan negeri tertinggi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025. Katanya “Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi amaran kepada krisis sosial.
Menyoroti faktor menyumbang kepada penceraian di kalangan pasangan muda, kewangan tak stabil boleh diangkat sebagai faktor utama penceraian. Gaduh dan sengketa berpanjangan akibat masalah kewangan,tiada pengurusan kewangan yang bijak dan hidup cukup-cukup makan mendorong pasangan muda mengambil jalan pintas sampai tahap bercerai berai.
Selanjutnya, pasangan muda yang berkahwin terburu-buru atas desakan keluarga, terlanjur atau mengikut trend tanpa memahami apa itu tanggungjawab suami isteri juga adalah penyumbang kepada perceraian yang berlaku.
Tidak dapat tidak kita untuk mengatakan masalah curang di kalangan pasangan juga boleh dijadikan sebab bercerai mutakhir ini. Kealpaan dan keasyikan melayan pelbagai medium media sosial bercampur lelaki dan wanita,bujang mahupun yang telah berpasangan, reunion yang menyorot kisah cinta lalu juga menyebabkan ikatan perkahwinan terlerai dan perkara ini bukan lagi taboo di kalangan masyarakat di negara kita.
Memetik kata Yang Berhormat ADUN Ladang lagi “Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan kurang 10 tahun akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi,” maka itulah dapat disimpulkan bagaimana terlerainya ikatan sebuah mahligai perkahwinan terutama di kalangan pasangan muda mahupun pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga.
Sehubungan itu, YB Zuraida dalam sidang DUN Terengganu pada hari tersebut turut mencadangkan empat intervensi strategik termasuk memperkukuh ekonomi pasangan muda, mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan serta menambah baik modul kursus praperkahwinan agar lebih praktikal.
Bagi mengukuhkan suatu ikatan perkahwinan dan mengelakkan penceraian, beberapa strategi boleh diterapkan antaranya ketika berlaku sengketa mahupun pergaduhan suami isteri yang berlarutan, tetapkan ‘gencatan senjata selama 72 jam’. Berhenti untuk bergaduh,mengungkit salah satu sama lain dengan tujuan untuk meredakan tekanan emosi yang membara. Ambil langkah matang dan elakkan terus mempertikai satu sama lain.
Seterusnya, untuk solusi pengurusan ekonomi keluarga yang kurang mantap, sentiasalah cakna dan bekerjasama menabung bulanan sebagai contoh. Sedar keupayaan diri dan pasangan masing-masing dan tidak bermewah-mewah. Seharusnya berusaha dengan variasi kaedah untuk menambah pendapatan isi rumah.
Media sosial perlu dihadkan penggunaan terutama aplikasi yang mendorong meragut kepercayaan satu sama lain. Tidak terlalu asyik dan beri tumpuan kepada pasangan masing-masing. Tidak perlu lah terlalu bercerita meluah di media sosial masalah rumah tangga atau isi perihal dalaman keluarga yang kemudiannya mendatangkan aib masing-masing dan memudaratkan.
Akhir kalam dan pokok pangkalnya kembalilah kepada ajaran baik setiap agama masing-masing untuk perkara yang disuruh dan tidak melakukan perkara yang dilarang. Satu hakikat yang perlu kita akui, mudarat suatu penceraian tidak melibatkan suami isteri sahaja tapi juga anak beranak, keluarga kedua-dua belah pihak malah boleh juga sampai ke semua lapisan masyarakat.
Sumber :
*Kes cerai di Terengganu melonjak, tertinggi dalam tempoh 7 tahun*
https://www.sinarharian.com.my/article/776625



