Pada 24 April (khamis) dalam tahun 1958, Perdana Menteri YM Tunku Abdul Rahman telah menamakan kapal terbang pertama Angkatan Tentera Udara Diraja Malaya dengan nama Raja Wali. Upacara tersebut telah berlangsung di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur. Pada mulanya kapal terbang Pioneer dua jenis Prestwick itu telah diberi nama “Lang Sewah” tapi pada saat akhir di lapangan terbang, YTM Tunku telah menukarkan namanya kepada “Raja Wali”.
Dalam ucapannya, Tunku berharap “Raja Wali” akan menjadi raja yang paling kuat di udara. Upacara penamaan kapal terbang ini telah direstui dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Mohd. Rasul bin Sheikh Ibrahim, Imam Masjid Jamik, Kampung Baru. Tunku kemudiannya telah berlepas ke Kota Bahru dengan menaiki kapal terbang “Raja Wali”, untuk menghadiri upacara pembukaan Kelab “Suara Muda” persidangan-persidangan UMNO di Kota Bahru, Pasir Mas dan Macang. Perdana Menteri dan rombongannya telah balik ke Ibu Kota dengan kapal terbang “Raja Wali” pada hari itu juga. Sesungguhnya sejak penamaan kapal terbang pertama pada hari ini dalam tahun 1958, Angkatan Tentera Udara Diraja telah berkembang dengan pesatnya. Beberapa jenis kapal terbang baru telah digunakan seperti Northtrop F-5 dan lain-lain lagi demi untuk mempertahankan tanah air.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



