RAMPAS: Kenderaan yang dirampas selepas didapati diubahsuai untuk menyeleweng diesel.
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memperhebat penguatkuasaan dengan menumpaskan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi melibatkan minyak diesel menerusi Ops Tiris 4.0.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, operasi kira-kira jam 12.05 tengah hari itu dijalanka hasil risikan Unit Risikan Sabah yang membawa kepada serbuan di sebuah stesen minyak sekitar bandar ini.
“Sepasukan anggota penguat kuasa KPDN digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pemeriksaan dan tindakan lanjut secara segera.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua kenderaan diparkir di dua pam dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel secara terancang.
“Kedua-dua kenderaan dikesan menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, dengan anggaran 800 liter diesel bagi setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
OPERASI: Pegawai KPDN menjalankan pemeriksaan Ops Tiris 4.0 di stesen minyak terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan modus operandi mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang diubah suai.
“Kaedah itu dipercayai bertujuan mengumpul dan mengedar diesel bersubsidi secara tidak sah.
“Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an diarahkan mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan, buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel.
“Semua dokumen bagaimanapun gagal dikemukakan, sekali gus menguatkan elemen kesalahan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan.
“Bagi kes pertama, rampasan melibatkan sebuah kenderaan kenderaan utiliti sukan (SUV) lasak, tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta minyak diesel dengan nilai RM12,695.
“Kes kedua pula melibatkan sebuah van, tangki IBC, dua unit pam elektrik, hos getah serta minyak diesel dengan nilai RM10,050.
“Secara keseluruhan, jumlah rampasan bagi kedua-dua kes mencecah RM22,745,” katanya.
Beliau berkata, KPDN menegaskan sebarang penyelewengan barang kawalan bersubsidi ialah kesalahan serius yang menjejaskan kepentingan rakyat serta ekonomi negara.
“Semua pihak termasuk pemilik stesen minyak diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan arahan kerajaan bagi memastikan penyaluran subsidi berjalan secara adil dan telus.
“KPDN Sabah memberi amaran tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peraturan.
“Orang awam turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan bagi membantu penguatkuasaan dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



