PERTEMUAN: Hajiji (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jerome selepas menerima kunjungan hormat daripada wakil TotalEnergies, hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi yang berkeupayaan teknikal tinggi dalam meneroka sepenuhnya potensi sumber laut dalam di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi penerokaan laut dalam yang besar dan belum diterokai sepenuhnya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri berhasrat bekerjasama dengan pelabur bereputasi bagi membawa keupayaan dalam penerokaan laut dalam.
Menurutnya, usaha itu juga bagi memastikan pengeluaran mampan sumber laut dalam serta merealisasikan sepenuhnya potensi huluan di negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan hasrat pihak TotalEnergies untuk mewujudkan kehadiran jangka panjang di negeri ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga serantau.
Dalam pertemuan itu, Jerome memberi taklimat mengenai operasi TotalEnergies yang kini terlibat dalam penerokaan ultra laut dalam di perairan Sabah dengan pegangan kepentingan sebanyak 34.9 peratus bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dan Shell.
Syarikat tenaga pelbagai global dari Perancis ini merupakan antara lima pemain utama dengan portfolio gas asli cecair (LNG) dan huluan yang kukuh serta berkembang di peringkat global.
TotalEnergies turut terlibat dalam lima lagi blok di luar pesisir Sabah selain mempunyai kepentingan dalam aset gas luar pesisir utama di Sarawak.
Jerome berkata, TotalEnergies yakin Sabah merupakan langkah seterusnya yang kukuh bagi syarikat itu, mengambil kira potensi luar pesisir yang besar, permintaan gas yang semakin meningkat, dasar mesra pelabur serta sokongan padu di peringkat negeri dan Persekutuan.
Turut hadir, Pengarah Perundangan TotalEnergies EP Malaysia, Solpiee Sahmat serta wakil Serantau Dewan Perdagangan dan Industri (CCI) Perancis Malaysia bagi Sabah, Jacques Leizerovici.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



