STATISTIK TENAGA BURUH, FEBRUARI 2026 Siaran Terkini : 10 April 2026

Pada Februari 2026, bilangan penduduk bekerja kekal dalam trend menaik, bertambah sebanyak 0.1 peratus (+19.5 ribu orang) kepada 16.79 juta orang, berbanding bulan sebelumnya (Januari 2026: 16.77 juta orang). Nisbah guna tenaga kepada penduduk, yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan, kekal 68.8 peratus pada Februari 2026, seperti direkodkan bulan lalu.

Bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan berada dalam trend peningkatan pada Februari 2026. Dalam sektor tersebut, aktiviti Perdagangan borong & runcit kekal sebagai penyumbang utama, diikuti oleh aktiviti Penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman serta aktiviti Maklumat & komunikasi. Guna tenaga dalam sektor Pertanian, Pembuatan, Pembinaan juga merekodkan peningkatan, manakala sektor Perlombongan & pengkuarian mencatatkan penurunan.

Pada Februari 2026, kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja. Kategori ini naik sebanyak 0.1 peratus (+7.2 ribu orang), merekodkan 12.59 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Januari 2026: 12.59 juta orang). Bilangan penduduk bekerja sendiri juga mencatatkan peningkatan, dengan pertambahan 0.3 peratus (+9.5 ribu orang) kepada 3.13 juta orang, berbanding Januari 2026 iaitu seramai 3.13 juta orang.

Bilangan penganggur menurun sebanyak 0.6 peratus (-2.8 ribu orang) kepada 506.8 ribu orang pada bulan tersebut (Januari 2026: 509.6 ribu orang). Kadar pengangguran tidak berubah pada 2.9 peratus bagi bulan keempat.

Tenaga buruh terus menunjukkan peningkatan pada Februari 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus (+16.6 ribu orang) kepada 17.30 juta orang (Januari 2026: 17.28 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) Februari kekal pada 70.9 peratus, sama seperti Januari 2026.

Pada bulan tersebut, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menurun secara marginal 0.04 peratus (-2.7 ribu orang) kepada 7.10 juta orang (Januari 2026: 7.11 juta orang).  Kerja rumah/ tanggungjawab keluarga merupakan sebab utama bagi luar tenaga buruh, merangkumi 43.2 peratus, manakala kategori bersekolah/ latihan berada di kedudukan kedua pada 40.4 peratus.

 

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …