APLIKASI KEBUN DAPUR BAKAL DILANCAR KETUA MENTERI

ERAH: Jamawi (dua kanan) menyampaikan anak ayam penelur kepada peserta kursus.

KOTA KINABALU: Inisiatif Kebun Dapur di Sabah bakal diperkasa dengan pelancaran aplikasi digital khusus yang akan memudahkan urusan pemasaran hasil pertanian dan ternakan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, aplikasi dikenali sebagai ‘Kebun Dapur App’ itu dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam tempoh sebulan lagi, bagi memperkukuh ekosistem pengeluaran makanan di peringkat komuniti.

Jamawi berkata, pembangunan aplikasi itu bertujuan membolehkan pengguna mengetahui bekalan semasa hasil pertanian dan ternakan di seluruh negeri hanya melalui telefon pintar.

“Melalui aplikasi ini, kita boleh tahu di Kundasang berapa banyak sayur kobis tersedia pada hari ini, atau berapa bekalan ikan tilapia di seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kursus ternakan ayam penelur di Kampung Karambunai Baru, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, hari ini.

Beliau menjelaskan, aplikasi itu juga akan menghubungkan pengeluar dengan pembeli secara terus, sekali gus membantu merancang permintaan dan penawaran dalam tempoh tertentu.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, malah mengurangkan pembaziran hasil pertanian.

Dalam masa sama, Jamawi menegaskan aplikasi tersebut berperanan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang selama ini menjejaskan pendapatan petani.

Sehubungan itu, beliau berkata, penggunaan aplikasi berkenaan dijangka meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui akses pasaran yang lebih telus.

Mengulas lanjut, Jamawi berkata, inisiatif Kebun Dapur yang sedang digerakkan kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pengeluaran makanan secara sara diri di peringkat isi rumah.

Katanya, program itu menggalakkan masyarakat kampung menternak ayam, itik serta menanam sayur-sayuran di sekitar rumah bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Kalau ada sumber makanan sendiri di rumah, tidak timbul lagi rungutan harga ayam, ikan atau sayur yang mahal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Sabah kini masih bergantung sehingga 95 peratus kepada import makanan ternakan, yang menyebabkan kos meningkat ketika berlaku krisis global.

“Apabila harga makanan ternakan naik, kos pengeluaran turut meningkat dan akhirnya pengguna terpaksa menanggung harga lebih tinggi,” katanya.

Justeru, Jamawi berkata, kerajaan negeri giat memperkenalkan latihan dan bimbingan kepada komuniti melalui program Kebun Dapur dengan bantuan mentor berpengalaman.

Katanya, kursus seperti ternakan ayam penelur dan penghasilan dedak secara sendiri menggunakan sumber tempatan diadakan secara praktikal di lapangan.

Dalam pada itu, Jamawi berharap lebih ramai anak muda akan terlibat sebagai usahawan dalam sektor pertanian dan ternakan melalui program tersebut.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …