JKNS LAKSANA DUA KAJIAN BERKAITAN PERKHIDMATAN KERETA API

ANUGERAH: Ewon (tengah) dan tetamu jemputan merakamkan kenangan bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kini sedang melaksanakan dua kajian berkaitan perkhidmatan kereta api negeri dan laporan penuh mengenai kajian itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, dua kajian itu melibatkan semakan kadar tambang perkhidmatan keretapi serta kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) laluan baharu dari Putatan ke Kota Kinabalu, seterusnya ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hingga ke Pelabuhan Sepanggar.

Menurutnya, kajian semakan kadar tambang kini mencapai kemajuan sebanyak 90 peratus dan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada kementerian sebelum dibawa ke Kabinet Negeri untuk pertimbangan lanjut.

“Saya memilih untuk menunggu kajian ini siap sepenuhnya, khususnya kajian semakan kadar tambang yang hampir selesai, sebelum dibentangkan kepada kementerian dan seterusnya kepada jemaah menteri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Majlis Sanjungan Budi anjuran JKNS, di sini, semalam.

Ewon berkata, kajian kebolehlaksanaan laluan Putatan-KKIP-Sepanggar pula dijangka mengambil tempoh selama 12 bulan dan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memperluas rangkaian keretapi di negeri ini.

Menurutnya, JKNS turut menyumbang pandangan kepada kajian kebolehlaksanaan projek Trans Borneo Railway yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Selain itu jelasnya, pihak kementerian juga akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah pada tahun ini, dengan penglibatan JKNS dalam jawatankuasa pemandu dan teknikal.

Pada majlis itu, seramai 32 pegawai dan kakitangan JKNS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 23 lagi diraikan sempena persaraan mereka.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima anugerah dan pesara atas sumbangan serta kecemerlangan perkhidmatan mereka.

“Saya yakin pencapaian ini mampu menjadi inspirasi kepada penjawat awam lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, bukan sahaja di JKNS tetapi juga dalam perkhidmatan awam negeri secara keseluruhan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …