80 ‘SCAMMER’ MENYAMAR POLIS CHINA TUMPAS DI RESORT TAWAU

LICIK: Semua suspek terbabit didakwa di Mahkamah Tawau untuk pertuduhan kes berkenaan.

TAWAU: Taktik licik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China akhirnya tumpas apabila polis menyerbu sebuah resort, di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam itu, seramai 80 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan diberkas dalam serbuan bersepadu.

Operasi dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau.

Sumber berkata, majoriti tangkapan membabitkan warga asing dengan 78 daripadanya rakyat China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang dari Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan resort berkenaan sebagai pusat operasi utama menjalankan penipuan dalam talian.

“Premis itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat panggilan, malah digunakan sebagai tempat latihan, kediaman dan lokasi rehat ahli sindiket,” katanya.

Katanya, kumpulan berkenaan menyasarkan warga Amerika Syarikat berketurunan Cina dengan menyamar sebagai pegawai polis dari China bagi memperdaya mangsa.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta rangkaian sindiket terbabit.

Sementara itu, seramai 77 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini bagi permohonan reman.

Permohonan reman selama tiga hari yang dikemukakan pegawai penyiasat BSJK IPD Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah diluluskan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Tiga lagi suspek yang sedang menerima rawatan di hospital turut dibenarkan direman bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, enam individu termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun masih diperlukan bagi membantu siasatan lanjut.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …