Sebuah bot penumpang yang membawa muatan melebihi kapasiti ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu di perairan Pulau Redang pada 28 Mac baru-baru ini.
Bot tersebut dikesan kira-kira jam 3 petang pada kedudukan 26 batu nautika dari muara Kuala Terengganu ketika dalam perjalanan dari Pulau Redang ke Jeti Merang, Setiu. Pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 25 penumpang walaupun kapasiti dibenarkan hanyalah 12 orang mengikut lesen sah.
Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Hamiludin Che Awang, tindakan itu jelas melanggar syarat lesen serta membahayakan keselamatan penumpang sekiranya berlaku kecemasan di laut.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kru yang tidak memakai jaket keselamatan, sekali gus meningkatkan risiko sekiranya berlaku insiden tidak diingini. Bot tersebut dikendalikan tiga kru warga tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun.
Kesemua penumpang diarahkan turun dengan selamat, manakala bot bersama kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan di laut.
Sumber: Berita Harian



