MASALAH PENGAIRAN KG. PIASAU DUNDAU DIBINCANG BERSAMA PENDUDUK

TINJAU: Jamawi (tiga kanan) semasa berada di kawasan sawah padi Kota Belud

KOTA BELUD: Isu pengairan yang menjejaskan usaha penanaman padi di Kampung Piasau Dundau di sini dibincangkan bersama penduduk dan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian segera.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau turun padang ke kampung berkenaan bagi melihat sendiri keadaan sistem pengairan yang menjadi kebimbangan masyarakat tani di kawasan itu sejak sekian lama.

“Kita berada di Kg. Piasau Dundau melihat keadaan pengairan yang telah pun dilaporkan sejak tiga tahun lalu untuk mendapatkan penyelesaian supaya penduduk dapat menanam padi,” katanya ketika melawat sungai di kampung itu, pada Isnin.

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS), Siraja Bashora.

Jamawi memberi jaminan bahawa para petani akan mula dapat menanam padi semula pada musim penanam utama Ogos akan datang.

“Saya akan datang lagi ke kampung ini pada bulan Julai nanti untuk memastikan semua yang di bincangkan telah teratur dan dilaksanakan.

“Kita telah bincang dengan penduduk dan kepimpinan di kawasan ini, termasuk pihak di peringkat jabatan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, semua perkara yang telah dikemukakan oleh masyarakat tani di kawasan itu akan diambil perhatian.

Hasil daripada  perbincangan itu, beberapa langkah penyelesaian jangka pendek telah diputuskan dan dipersetujui oleh semua pihak.

Menurutnya, perkara paling penting ialah memastikan keputusan yang dipersetujui itu dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

Dalam masa sama, Jamawi turut memohon maaf kepada penduduk sekiranya terdapat kekurangan dalam usaha menangani isu berkenaan sebelum ini dan akan cuba selesaikan perkara ini bersama-sama.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam soal pengairan dan perkara berkaitan, usaha akan diteruskan bagi mencari penyelesaian terbaik.

Terdahulu, Jamawi telah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan dan Pembangunan Industri Tanaman Padi Negeri Sabah.

Jamawi juga mengadakan lawatan ke Sawah Padi Pelaksanaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Kg. Piasau dan Kg. Tambulion.

Dalam program berasingan, Jamawi menghadiri Majlis Silaturahim berbuka puasa bersama lebih 500 orang penduduk kampung di Dewan Arsad Tempasuk yang dihoskan oleh Mohd. Arsad.

Dalam Majlis itu, Jamawi turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf sekitar DUN Tempasuk.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …