PERIKSA: Pasukan Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan ke atas vesel terbabit.
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak.
Menurutnya, penahanan dilakukan oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama dua kru lelaki masing-masing berusia 27 dan 34 tahun.
“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut mendapati lesen vesel berkenaan telah tamat tempoh dan gagal diperbaharui.
Beliau berkata, kegagalan memperbaharui lesen adalah satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada selain boleh menjejaskan kawalan serta pengurusan sumber perikanan negara.
“Maritim Malaysia tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dan akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Vesel, kru dan hasil tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



