MAUT: Mangsa maut disyaki terkena tembakan rakan ketika berburu di hutan.
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang pada awalnya dipercayai maut akibat terjatuh dari pokok ketika memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, di sini, pada Sabtu, bagaimanapun disyaki terkena tembakan.
Mangsa berusia 44 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda pada jam 7.17 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melalui panggilan MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian.
“Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan. Temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit.
“Polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan berkaitan untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



