Seramai 273 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Bersepadu Mega yang dilaksanakan di Mukim Merang oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu pada 15 Februari lalu di Setiu.
Operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 316 individu di sebuah tapak pembinaan dengan kerjasama beberapa agensi iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Pasukan Taktikal Khas Jabatan Imigresen Malaysia (PASTAK).
Daripada jumlah yang ditahan, tiga adalah warga Indonesia, seorang warga India dan selebihnya warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 55 tahun. Antara kesalahan dikesan termasuk salah guna pas, tinggal lebih masa serta berada di negara ini tanpa pas atau permit sah mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.
Dalam operasi sama, dua lelaki warga Bangladesh bertindak melarikan diri dengan berenang kira-kira tujuh kilometer di pesisir pantai namun berjaya diselamatkan selepas keletihan dengan bantuan APM dan bot awam.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut. Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu menegaskan komitmen berterusan memperkasa penguatkuasaan undang-undang imigresen.
Sumber: Jabatan Imigresen Negeri Terengganu



